Foto : JDT
NAMA Gabriel Nistelrooy Anak Tamin mula meniti di bibir peminat bola sepak tempatan susulan prestasi mengagumkan dipamerkan ketika diturunkan menentang PDRM FA, Isnin lepas.
Pemain Johor Darul Ta’zim II itu menjaringkan salah satu gol pada perlawanan persahabatan di Shah Alam.
Menurut jurulatih Kelab Sibuti Bavarian’s FC (SBFC), Cikgu Cikgu Hakimi Man yang mencungkil bakat Gabriel, bekas anak didiknya itu mempunyai hati dan keyakinan yang tinggi untuk berjaya.
“Dalam bola sepak untuk berjaya kita mesti mempunyai hati yang besar dan keberanian untuk mencabar diri agar menjadi lebih baik.
“Ini yang ada pada Gabriel. Apabila anda mempunyai hati yang besar tahap keyakinan anda akan terserlah dan pastinya anda akan mempunyai keberanian utk mencabar diri,” katanya kepada Cakap Sukan hari ini.
Sambil mengimbas bagaimana perjalanan karier Gabriel, ia bermula selepas kematian ayahnya di Sarawak.
“Gabriel telah membuat satu keputusan besar menyertai JDT pada usia 18 tahun…ianya satu tindakan yang amat berani.
“Dengan usia yang masih muda, berjauhan dengan keluarga dan berbeza budaya masyarakat, Gabriel mencabar diri untuk menghadapi apa jua perubahan,” ujarnya lagi.
Tambah Hakimi, untuk berjaya sebagai pemain bola sepak di luar Sarawak, pemain perlu memiliki sedikit tuah dan memilih haluan yang betul.
“Anda tahu, kini JDT II dilatih oleh seorang jurulatih yang berkaliber dari Malaga Sepanyol, Rafael Gil Sanchez (44 tahun) seorang jurulatih yang berani mengetengahkan pemain muda.
“Latar belakang karier Rafael yang sudah sinonim dengan pemain muda sejak mula menjejakkan kaki di bidang kejurulatihan memberikan beliau kelebihan dalam mengasah taji pemain muda.
“Dia pernah mengendalikan pasukan Arab Saudi B-17 (2012-2013) seterusnya sebagai penolong jurulatih skuad senior (2013-2015) menceritakan betapa masaknya pengalaman jurulatih bersama pemain muda.
“Apabila ada seorang jurulatih yang berani dan mempercayai bakat pemain, anda perlu mengunakan peluang ini dengn sebaiknya,” jelas Hakimi.
Untuk rekod, antara pemain muda yangg diberikan peluang oleh Rafael untuk bersama JDT II pada masa ini adalah Gabriel Nistelrooy Anak Tamin,20 ; Muhammad Nafizuddin Bin Muhamad Fauzi,19 ; Mohamad Rafierikri Mohd Rosman,18 ; Ali Imran Sukari,18 dan Muhammad Aiman Danish Azli Abdul Azim.
Hakimi yang pernah membimbing Miri FC dalam pertandingan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) memberikan kata-kata nasihat buat pemain muda.
“Anda perlu bekerja keras dan berani bersaing dengan pemain senior, anda pasti diberikan peluang untuk beraksi. Gunakan sebaiknya peluang yang terbatas ini.
“Bila anda memilih pasukan yang mempunyai mentaliti untuk memajukan bola sepak, mempunyai perancangan jangka pendek dan jangka panjang yang jelas, ada jurulatih yang begitu mempercayai pemain muda…anda perlu optimis bahawa bakat anda akan dilihat jika anda berpotensi untuk maju ke depan,” tuturnya lagi.
Add Comment