Bola Sepak Terkini

Janji Presiden KFA


Muhammad Sanusi (dua,kiri) bersama Ketua Pasukan, Baddrol Bakhtiar (dua, kanan) dan pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak pada sidang media, malam tadi. (Foto : UPDA)

BARISAN pemain dan pengurusan Kedah kini mampu menarik nafas lega apabila Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan melunaskan bayaran gaji penuh untuk bulan Julai selepas lima bulan tidak menerima sebarang imbuhan sejak Mac lepas.

Presiden KFA Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya turut memberi jaminan akan menyelesaikan tunggakan yang masih berbaki dalam masa terdekat.

“KFA telah menyelesaikan sebahagian tunggakan gaji dengan bayaran gaji bagi Julai telah dimasukkan ke akaun mereka, hari ini (semalam). Saya beri jaminan bahawa semua masalah ini akan diselesaikan pada musim ini , itu adalah janji saya.

“Saya juga telah membuat rundingan bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi menyusun semula jadual pembayaran caruman mereka yang tertunggak sejak 2019,” katanya selepas majlis makan malam bersama pasukan Lang Merah sebagai tanda penghargaan kepada barisan pemain dan pengurusan pasukan atas komitmen tinggi, selain turut memohon maaf bagi pihak pengurusan lama dan baharu berhubung isu yang melanda itu.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah memaklumkan KFA sangat komited untuk menyelesaikan isu berkenaan dan pihaknya telah mengadakan rundingan bersama penaja musim ini yang masih belum melunaskan bayaran seperti dipersetujui dalam kontrak yang ditandatangani sebelum ini.

“Kita berusaha untuk terus mencari penaja dan penyumbang yang boleh membantu pasukan. Buat masa ini, penaja yang telah menandatangani kontrak pada musim ini akan memulakan pembayaran namun bukan dalam kuantiti penuh dan kita faham itu, mungkin mereka turut terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya.

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d