PENYERANG muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin akan berlepas ke Belgium jam 2.05 pagi ini untuk menyertai kelab baharunya KV Kortrijk, Belgium.
Tiba kira-kira jam 11.15 malam di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA), pemain kelahiran Kota Bharu Kelantan itu segera menyelesaikan urusan pendaftaran di kaunter H sebelum bertemu bapanya Shamsudin Mahmood dan Ibunya Hasmah Che Soh serta ahli keluarga terdekat turut hadir sama memberi sokongan sebelum Luqman berangkat ke Belgium.
Bagi Luqman, ketika ini perasaannya gembira namun tidak menafikan sedih meninggalkan keluarga.
“Semestinya saya bersemangat, dalam hati semua ada. Tidak dinafikan juga sedih untuk tinggal keluarga.
“Tidak boleh terlalu sedih kerana mak dan ayah pun sokong saya dan memang niat saya nak pergi sana untuk bantu keluarga.
“Sebelum ini saya pergi dengan pasukan, tapi kali ini saya pergi seorang diri. Jadi sekarang saya kena matang, kerana ini cabaran besar buat saya,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebentar tadi.
Luqman memaklumkan dia akan melaporkan diri bersama KV Kortrijk selepas 14 hari proses kuarantin di Belgium.
Khamis lalu, Luqman menandatangani kontrak lima tahun bersama kelab itu.
Add Comment