RUNDINGAN antara Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan pakar pelaburan terkenal, Norizam Tukirman menunjukkan maklum balas positif pada pertemuan kedua-dua pihak itu, di Kuala Lumpur semalam.
Naib Presiden KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid mengesahkan perbincangan berlangsung dengan baik walaupun ia merupakan siri pertemuan pertama melibatkan kedua-dua pihak itu.
Malah beliau turut mendedahkan ‘bakal pembeli’ pasukan Kelantan itu menunjukkan komitmen dan kesungguhan tinggi untuk menyelamatkan masa depan bola sepak The Red Warriors daripada berkubur.
“Saya boleh katakan ia (pertemuan) amat baik untuk masa depan bola sepak Kelantan tetapi ada beberapa perkara penting lagi yang perlu diteliti lebih mendalam antara KAFA dan beliau.
“Bagaimanapun buat masa sekarang saya tidak boleh dedahkan butiran pertemuan itu kepada umum. Apa pun, saya menyeru kepada semua penyokong agar berdoa semoga usaha yang kita lakukan ini dapat menyelamatkan Kelantan,” katanya.

Media tempatan pada 7 Ogos lalu, melaporkan Norizam yang merupakan usahawan burger dan pemilik rangkaian hotel di selatan tanah air menunjukkan minat tinggi mahu membeli bekas gergasi pantai timur itu.
Noriman tampil selaku individu kedua selepas seorang anak jati Kelantan yang bermastautin di Amerika Syarikat iaitu Prof Dr Wan Kamal Wan Napi turut menyatakan minat sama sebelum menarik diri pada 7 Ogos lalu.
Beliau yang dikenali dengan panggilan Zamsaham bagaimanapun meletakkan lima syarat kepada KAFA sebelum memulakan rundingan rasmi bersama persatuan sukan yang sarat dengan hutang itu.
Syarat tersebut adalah menunjukkan akaun semasa (audit), perancangan pasukan, struktur organisasi, pendapatan (aliran tunai) dan analisis SWOT (kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman).
Sementara itu, Noriman turut mengeluarkan kenyataan sama dengan menjelaskan rundingan beliau dengan KAFA positif namun enggan mengulas lanjut hasil pertemuan berkenaan.
Add Comment