Bola Sepak

Zahasmi ‘bereksperimen’ cari barisan terbaik


Barisan pemain Kufc gigih menjalani latihan menjelang saingan Liga Malaysia.

Aksi persahabatan tertutup menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini bakal menjadi eksperimen terbaik bagi Kelantan United FC.

Ketua Jurulatihnya, Zahasmi Ismail mengakui ia perlawanan penting bagi pasukannya untuk mencari semula rentak permainan sebelum saingan Liga Malaysia (Liga-M) disambung, 26 Ogos ini.

“Insya Allah perlawanan persahabatan dengan TFC ini kita boleh dapat menilai sejauh mana keupayaan pasukan setelah berehat begitu lama.

“Ia juga penting untuk menguji jati diri pemain dan memudahkan barisan kejurulatihan mencari kesebelasan utama apabila liga disambung nanti,” katanya kepada Cakap Sukan hari ini.

Skuad yang terkenal dengan jolokan The Green Deers itu akan menyambung kempen Liga Premier bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) II di tempat lawan, 27 Ogos ini.

Jelas jurulatih berusia 53 tahun itu, aksi tersebut juga membolehkan dia menilai intensiti dan tahap kecergasan pemain sama ada berada pada tahap tertinggi atau sebaliknya.

“Saya rasa semua pasukan berdepan situasi (masalah kecergasan) sama kerana sudah lebih empat bulan tiada aksi kompetitif akibat Covid-19. Memang “fitness game” bermasalah sebab dah lama tak bermain.

“Jadi perlawanan seperti ini memang penting bukan hanya kepada kita tetapi juga TFC sendiri untuk menilai pemain mereka,” katanya lagi.

Ketika ini, pasukan berstatus kelab dari Kelantan itu menduduki tangga kedua liga dengan mengumpul sembilan mata dan berada di landasan tepat untuk memburu slot ke Liga Super musim depan selain layak beraksi di pentas Piala Malaysia.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d