LIMA atlet terbaik sepanjang 2019 dicalonkan untuk merebut Anugerah Atlet Terbaik di Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) – 100PLUS 2019 yang dijadual berlangsung pada 12 Ogos ini di Auditorium Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara.
Mereka adalah pemain badminton wanita, S Kisona, ratu gimnas; Farah Ann Abdul Hadi dan jaguh keirin; Mohd Azizulhasni Awang bagi anugerah berprestij tersebut.
Dua calon lagi adalah atlet wushu, Loh Choon How dan Julian Yee dari sukan luncur ais.
Presiden SAM, Jasni Shafie berkata pemenang kedua-dua anugerah utama itu akan menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi.
“Selain mengiktiraf atlet yang cemerlang serta mengharumkan nama Malaysia sepanjang tahun 2019, turut akan diraikan pada majlis Anugerah SAM-100PLUS itu adalah wartawan sukan yang berpeluang memenangi hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM50,000,” katanya.
Anugerah dibahagikan kepada enam kategori iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.
Pemenang terbaik keseluruhan untuk kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Siebel dan bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000 berserta trofi.
Add Comment