Bola Sepak Terkini

PUC Sport tarik diri taja Kelantan


IMG-20200805-WA0094

SUDAHLAH dipotong tiga mata, nasib Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) terus malang apabila penaja bersama, PUC Sport mengambil tindakan menarik diri, hari ini.

Keputusan drastik itu dibuat setelah syarikat pembekal pakaian rasmi skuad bola sepak Kelantan berdepan kekangan kewangan, ketika ini.

Pengarah Urusan PUC Sport, Mohd Shukry Pauzi berkata, syarikatnya tidak dapat meneruskan penajaan selepas mendapati graf jualan jersi The Red Warriors tidak mencapai sasaran seperti ditetapkan pihaknya.

Menurutnya, penularan pandemik Covid-19 yang melanda global turut menyebabkan syarikatnya mengalami kerugian selain kurangnya sokongan pihak KAFA dalam membantu mempromosi jualan jersi turut mempengaruhi produk mereka.

“PUC Sport akan membuat lelongan besar-besaran 8,000 helai jersi rasmi TRW melibatkan saiz dewasa dan kanak-kanak sehingga potongan harga 50 peratus sebelum perlawanan Liga Premier antara Kelantan menentang UKM FC, 22 Ogos ini,” katanya.

Jelas Mohd Shukry, sepanjang liga berlangsung sebelum terhenti pertengahan Mac lalu, PUC Sport menunjukkan komitmen tinggi dengan sentiasa membekalkan pakaian kepada pasukan Kelantan itu.

“Kita ucap terima kasih kepada pihak KAFA kerana memberi kepercayaan kepada PUC Sport untuk menjadi sebahagian daripada pasukan ini,” ujarnya lagi.

Jelas beliau lagi, sebagai tanda penghargaan dan perpisahan, PUC Sport berbesar hati menyumbang jersi kepada pemain dan barisan kejurulatihan sebelum memulakan latihan di Padang Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Pasir Tumboh semalam.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d