
TEMPOH selama lebih tiga minggu bagi mengadakan perlawanan persahabatan sebelum Liga Malaysia kembali bersambung sudah memadai bagi memastikan semua pasukan berada di gear terbaik terutama dalam aspek kecergasan bagi menghadapi perlawanan kompetitif.
Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic yang telah merangka beberapa aksi persahabatan menganggap masa diberikan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) itu sudah cukup ideal selepas hampir dua bulan kebanyakan pasukan mula menjalani latihan secara terbuka.
Justeru, beliau berharap pemain-pemain dapat segera memanfaatkan peluang diberikan dalam perlawanan persahabatan yang mana bukan sahaja penting kepada kesediaan fizikal tetapi daripada segi mental selepas lima bulan tidak turun beraksi dalam sebarang perlawanan.
“ Semua pasukan berada dalam kepompong yang sama iaitu daripada segi masa dalam semua aspek termasuk dalam kebenaran mengadakan aksi persahabatan yang mana saya rasakan tiga minggu sudah cukup.
“ Sekurang-kurangnya tempoh yang ada ini sebelum liga bermula saya rasa akan banyak membantu kepada semua pemain mendapatkan semula rentak mereka di atas padang.
“ Segala perancangan yang diatur oleh MFL sejak fasa 1 dahulu nampaknya berjalan dengan baik setakat ini dan saya begitu gembira, cuma diharapkan semua pasukan patuh terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan agar tidak ada berlaku kejadian yang kita tidak inginkan,” katanya.
Perak setakat ini telah mengesahkan dua perlawanan persahabatan iaitu bertemu Kuala Lumpur pada 8 Ogos serta UKM FC, 14 Ogos dengan kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium Perak, Ipoh.
MFL pada Ahad mengumumkan pasukan-pasukan CIMB Liga Super dan Liga Premier telah dibenarkan untuk mengadakan perlawanan pemanas badan atau persahabatan sebagai persiapan awal untuk menyambut aksi Liga Malaysia yang bakal bersambung pada 26 Ogos depan.
Sementara itu, ketua jurulatih Negeri Sembilan, Sazali Saidun, juga senada dengan Mehmet, yang berasakan kebenaran mengadakan perlawanan persahabatan ini sudah sampai masanya memandangkan tinggal kurang sebulan lagi Liga Malaysia akan bermula.
Antara perkara paling penting buat Sazali ialah dapat menguji sejauh mana penggunaan lima pemain gantian yang dibenarkan oleh MFL pada Julai selaras dengan kelulusan yang telah diberikan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
“ Bagi saya perlawanan persahabatan ini sememangnya diinginkan oleh semua pasukan selepas dua bulan berlatih dan ini masa sesuai untuk melihat sejauh kesediaan pemain.
“ Jika sebelum ini tiga sahaja pemain gantian dibenarkan, kali ini suasananya pasti berbeza kerana semua pasukan boleh gunakan lima pemain dan medan perlawanan persahabatan adalah detik terbaik menguji sejauh aspek ini.
“ Saya menyambut baik penggunaan lima pemain ini kerana pasti membantu setiap jurulatih mendapatkan yang terbaik daripada pemain ekoran jadual liga yang pasti sedikit padat sebaik bersambung pada 26 Ogos nanti, ” katanya.
Add Comment