Bola Sepak Semasa Terkini

Kelantan pasrah

PERSATUAN Bolasepak Kelantan (KAFA) tampak pasrah dengan episod malang menghantui mereka setelah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenakan hukuman pemotongan mata, semalam.

Setiausaha Agungnya, Husin Deraman berkata, pihaknya menerima keputusan tersebut dengan terbuka kerana sedia maklum berhubung hukuman yang bakal dijatuhkan oleh FAM setelah gagal menyelesaikan tuntutan dalam tempoh ditetapkan.

“Peraturan yang ada jelas dan kita akur, terima keputusan (potong tiga mata) yang telah dibuat oleh FAM.

“Dalam hal ini, KAFA bersikap profesional dengan peraturan yang telah digubal dan dipersetujui selaras ketetapan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa).

“Pengurusan yang ada sekarang tidak bernasib baik kerana kerana berdepan isu perlesenan, penswastaan dan kewangan selain tunggakan gaji bekas pemain dan pegawai,” katanya kepada Cakap Sukan hari ini.

FAM selaku badan induk bola sepak kebangsaan semalam, memutuskan Kelantan dipotong tiga mata setelah didapati gagal membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan seperti yang diputuskan Jawatankuasa Status FAM sebelum ini.

Persatuan terbabit hanya berjaya membuat bayaran mengikut pelan penyelesaian bagi baki yang masih tertunggak pada tarikh akhir bayaran ansuran pertama dan kedua iaitu pada 31 Januari dan 29 Februari.

Keputusan itu menyebabkan skuad The Red Warriors kini hanya meraih satu mata dan menghuni kelompok terbawah liga.

Dalam perkembangan lain, Husin memaklumkan KAFA melantik Datuk Shaari Mat Husain sebagai presiden baharu manakala seorang exco, Ahmad Muzakir Hamid mengisi salah satu kekosongan kerusi naib presiden.

Menurutnya lagi, KAFA sedang mengenal pasti dua lagi calon untuk menjawat jawatan dua nasib presiden dan bendahari yang turut dikosongkan sebelum ini.

“Calon dah ada cuma exco sedang meneliti calon-calon tersebut,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, buat masa sekarang Jawatankuasa Eksekutif KAFA memutuskan tiada keperluan untuk mengadakan Kongres Luar Biasa (EGM) bagi membentuk barisan kepimpinan baharu persatuan itu.

“Kami meletakkan sepenuh kepercayaan kepada barisan sedia ada untuk menggerakkan persatuan ini,” jelasnya lagi.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: