Bola Sepak Terkini

Akademi JDT terima anugerah Piagam SupaRimau FAM


FB_IMG_1596535111453

Foto : FB FAM

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) telah menganugerahkan Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai Ahli Emas pertama bagi Piagam SupaRimau FAM atas usaha berterusan dalam membangunkan bola sepak akar umbi di negara ini.

Menyedari akan perlunya meningkatkan pembangunan bola sepak akar umbi di negara ini, Piagam SupaRimau FAM dibuat untuk menjadi alat sokongan yang memiliki proses sistem akreditasi dan penilaian yang bertujuan meningkatkan standard semua akademi bola sepak dan kualiti program mereka.

Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Bin Haji Mohd Amin berkata, bagi memperolehi keahlian dalam Piagam SupaRimau FAM, akademi bola sepak akan dinilai melalui lima kriteria utama, iaitu kepimpinan, perancangan, kemudahan, pertandingan dan pendidikan.

Jelas Hamidin, Akademi JDT telah merangkumi kesemua aspek-aspek ini dengan jayanya.

“FAM menghargai usaha berterusan Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam mempromosikan dan membangunkan pemain bola sepak di peringkat akar umbi.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan JDT kerana menjadi akademi pertama yang dianugerahkan keahlian emas,” kata Hamidin menerusi kenyataan media hari ini.

Akademi JDT adalah sebuah realisasi oleh Tunku Mahkota Johor untuk mewujudkan akademi terbaik di Malaysia bagi menghasilkan pemain berkualiti bertaraf antarabangsa.

FB_IMG_1596535276862

Akademi ini diselia oleh Pengarah Teknikal, Alistair Edwards dengan bantuan daripada Pengurus Pembangunan K. Sukumaran dan pasukan mereka yang terdiri dari Pengarah Akademi, Pegawai Perhubungan Akademi, Ketua Pencarian Bakat, Ketua Kecergasan, Ketua Fisiologi, dan Penyelaras untuk kumpulan pemain dengan umur yang berbeza, dan lain-lain.

Dengan visi dan misi yang jelas, Akademi JDT telah merencanakan rancangan yang luas dan terperinci untuk semua pemain-pemain muda mereka.

Akademi JDT mempunyai tiga venue latihan: Padang Tapak Universiti Teknologi Malaysia di Johor Bahru, Padang Mawar di Pasir Gudang dan Stadium Mini Taman Ungku Tun Aminah di Skudai.

Bagi mendekatkan hubungan dengan komuniti dan orang awam, Akademi JDT mengadakan banyak aktiviti lain selain daripada bola sepak akar umbi seperti ceramah motivasi, kelas bahasa, kursus bimbingan dan banyak lagi.

Ini menjadikan Akademi JDT sebagai akademi pertama di Malaysia yang dianugerahkan dengan keahlian emas Piagam SupaRimau FAM.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d