Bola Sepak Terkini

MFL tunggu kelulusan KKM untuk aksi persahabatan di Sarawak


Abd Ghani mengumumkan pasukan Liga Super dan Premier dibenarkan mengadakan perlawanan persahabatan sebagai persiapan awal menyambut aksi Liga Malaysia. 
LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) sentiasa memantau keadaan Kuching FA sehingga mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Kuching, Sarawak bagi tujuan kelulusan untuk mengadakan perlawanan persahabatan.
Ini susulan status Kuching FA berada dalam keadaan terkawal selepas lima pemain mereka didapati positif COVID-19 berpunca daripada Kluster Sentosa.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan berkata, buat masa ini keputusan untuk kelima-lima pemain sudah negatif ketika diambil di hospital tempoh hari dan mereka sudah dipindahkan dari hospital ke Kompleks Belia dan Sukan di Kuching, Sarawak.
“Pihak hospital akan membuat pemantauan dari sana dan mereka akan dikuarantinkan selama 14 hari. Bagi pemain dan pemain yang lain, kesemuanya didapati negatif untuk Ujian Calitatan (Swab Test) yang pertama dan ujian kedua akan dibuat esok sehingga Khamis depan di mana kesemua pegawai dan pemain akan tamat kuarantin pada 7 Ogos ini.
“Sementara itu, MFL dapat mengesahkan bahawa sifar kes berkaitan dengan pemain Kedah FA di mana pemain itu didapati bebas dari COVID-19 dan telah dicaj keluar dari hospital pada 31 Julai lalu,” katanya menerusi siaran rasmi yang dikeluarkan MFL, sebentar tadi.
Terdahulu, MFL telah mengumumkan Liga Malaysia 2020 kembali bersambung pada 26 Ogos depan selepas ditangguhkan sejak 16 Mac lalu disebabkan pandemik COVID-19.
Laporan terdahulu mengenai pemain Kuching FA yang positif Covid 19.
Sementara itu dalam perkembangan sama, Abd Ghani mengumumkan pasukan Liga Super dan Liga Premier telah dibenarkan untuk mengadakan perlawanan pemanas badan atau persahabatan sebagai persiapan awal untuk menyambut aksi Liga Malaysia yang bakal bersambung pada 26 Ogos depan.

“Keputusan membenarkan perlawanan persahabatan itu selaras kenyataan MFL sebelum ini di mana setiap pasukan perlu berada dalam tempoh bertenang bermula 29 Julai sehingga semalam yang menjadi penilaian penting buat MFL bagi memantau keadaan setiap pegawai dan pemain pasukan selepas sesi Latihan Kontak Fizikal dibenarkan bermula pada 15 sehingga 28 Julai lalu sebagai usaha memastikan tiada individu terlibat dengan wabak COVID-19 dan tiada laporan daripada pasukan berhubung adanya gelaja COVID-19 dalam kalangan pegawai dan pemain.
“Perlawanan persahabatan itu hanya dibenarkan kepada pasukan berstatus Liga Super dan Liga Premier sahaja selain hanya beraksi di venue yang telah menjalani proses nyahkuman dan disinfeksi sebelum perlawanan pemanas badan itu diadakan.
“Tempoh bertenang ini adalah bagi penilaian dan pemantauan bagi memastikan tahap kesihatan semua pegawai dan pemain masih baik setelah 14 hari tempoh Latihan Berkontak Fizikal dibenarkan tetapi Latihan Pasukan masih dibenarkan sepanjang tempoh ini.
“Pasukan hanya dibenar untuk mengadakan perlawanan di antara pasukan- pasukan Liga Super 2020 dan Liga Premier 2020 yang mana pegawai dan pemain pasukan-pasukan tersebut telah menjalani Ujian Calitan (Swab Test) dan telah disahkan bebas gejala dan telah mendapat kelulusan MFL atau dengan pasukan-pasukan yang mereka telah bertemu di perlawanan di peringkat awal sebelum Liga Malaysia ditangguhkan.
“Perlawanan hanya dibenar diadakan di dalam stadium atau venue perlawanan sahaja di mana gelanggang perlawanan tersebut hendaklah didaftarkan di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Stadium-stadium tersebut hendaklah menjalani proses nyahkuman dan disinfeksi sebelum perlawanan diadakan serta dimainkan tanpa penonton di mana hanya pegawai dan pemain pasukan yang berdaftar dan telah menjalani Ujian Calitan (Swab Test) sahaja dibenar berada di dalam stadium atau venue perlawanan,” ujarnya.

Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d