Bola Sepak

Red Giants ‘pindah” ke Stadium UiTM


 

Dr Johan memaklumkan FAS belum membuat keputusan muktamad kerana kerajaan negeri sedang menilai beberapa cadangan untuk membaik pulih Stadium Shah Alam.

 

STADIUM UiTM diumumkan sebagai gelanggang rasmi skuad The Red Giants bagi menggantikan Stadium Shah Alam apabila saingan Liga Malaysia (Liga-M) disambung pada 26 Ogos ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, pertukaran gelanggang itu memberi lebih banyak masa kepada mereka untuk menilai keadaan semasa Stadium Shah Alam setelah mendengar rancangan pihak pengurusan stadium mahu melaksanakan kerja baik pulih ke atas stadium berkenaan.

“FAS tidak mahu berada dalam keadaan tidak menentu dan kami memutuskan untuk bermain di gelanggang lain bagi memberi lebih banyak masa dan ruang (kerja-kerja pembaikan) kepada Stadium Shah Alam berada dalam keadaan lebih baik.

“Apa yang cuba kita hindari adalah kita tidak mahu bila Liga Malaysia dilangsungkan, tiba-tiba stadium itu akan menjalani proses baik pulih,” katanya menerusi satu kenyataan rasmi di laman rasmi FAS, hari ini.

Johan juga menjelaskan bahawa keputusan itu juga dibuat berdasarkan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bahawa semua perlawanan Liga-M akan dimainkan di stadium kosong.

“Pada mulanya, kami berhasrat untuk menghabiskan baki perlawanan di Stadium Shah Alam kerana kami sudah menjual pas bermusim kepada peminat kami, tetapi bila MKN dan MFL mengumumkan Liga-M akan dimainkan di stadium tertutup, kami mengambil keputusan keluar lebih awal kerana menyediakan tempat duduk peminat bukan tidak lagi menjadi keutamaan buat masa ini,” tambahnya.

Menurut beliau lagi, untuk musim seterusnya, FAS belum membuat keputusan muktamad kerana kerajaan negeri sedang menilai beberapa cadangan untuk membaik pulih Stadium Shah Alam dan tiada kepastian bila rancangan tersebut dapat disempurnakan.

Pada masa sama, FAS turut mempertimbangkan untuk menggunakan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya sebagai gelanggang sementara pada musim 2021, sehingga Stadium Shah Alam selesai menjalani proses pemulihan.

“Saya memahami perasaan peminat yang impikan pasukan beraksi di gelanggang sendiri tetapi ada banyak perkara yang perlu diperbaiki dan dipertingkatkan oleh Selangor.

“Stadium adalah salah satu agenda utama kami, tetapi memerlukan banyak sumber dan masa serta rancangan terperinci.

“Kami tidak mahu membuat keputusan tergesa-gesa. Saya harap peminat dapat memberi masa FAS untuk membuat penyelidikan yang tepat, memahami dan mencari modal untuk membina stadium kita sendiri, ” ujarnya lagi.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading