Bola Sepak

Piagam Suparimau di semua akademi bola sepak


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) bakal memulakan pelaksanaan piagam akar umbi yang dinamakan Piagam SupaRimau FAM dengan hasrat untuk meningkatkan taraf akademi bola sepak negara.

Piagam SupaRimau FAM merupakan salah satu inisiatif FAM yang sejajar dengan Peta Hala Tuju F:30. Ia bertujuan untuk mendorong penyertaan yang lebih besar dalam kalangan akademi bola sepak di Malaysia.

Selain itu, Piagam SupaRimau FAM juga berhasrat untuk menyokong akademi yang menyediakan aktiviti akar umbi yang berkualiti serta melabur dalam latihan dan pendidikan pemain muda yang berpotensi tinggi melalui bentuk penghargaan, sekiranya pemain mereka menjadi profesional.

“Ini adalah satu inisiatif dan komitmen FAM untuk meluaskan penyertaan di peringkat akar umbi, sekali gus memajukan peranan akademi mengikut kualiti aktiviti yang dilaksanakan,” ujar Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Piagam SupaRimau FAM mempunyai akreditasi dan proses penilaian yang bertujuan untuk menyeragamkan proses penstrukturan akademi.

Setiap akademi perlu memenuhi Lima (5) kriteria khas iaitu Kepimpinan, Perancangan, Kemudahan, Pertandingan Akar Umbi dan Pendidikan untuk mencapai status Ahli Piagam SupaRimau FAM.

Piagam SupaRimau FAM ini dibezakan melalui Tiga (3) tahap Ahli Piagam, iaitu:

  • Ahli Gangsa (asas) – Menekankan pada asas yang kuat untuk pertumbuhan masa depan.
  • Ahli Perak (maju) – Mementingkan kelestarian dan pembangunan.
  • Ahli Emas (penanda aras) – Fokus pada pertumbuhan dan pengekalan bilangan pemain dan program.

FAM kini sudah bersedia untuk melancarkan Sistem Piagam yang boleh dipohon melalui http://charter.fam.org.my. Akademi bola sepak yang berminat dijemput untuk mendaftar bersertakan dokumen yang lengkap untuk dinilai oleh pihak FAM.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d