
SAINGAN Liga Malaysia yang dijadualkan bersambung pada 26 Ogos 2020 adalah mengikut perancangan yang telah ditetapkan dan akan dijalankan mengikut SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Dato’ Ab Ghani Hassan menjelaskan pihaknya telah berhubung dengan Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican dan mengesahkan keputusan MKN dan KKM seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Sri Ismail Sabri sebelum ini untuk membenarkan kejohanan kontak penuh seperti bola sepak bermula 15 Ogos 2020 masih kekal.
“Keputusan untuk menyambung semula Liga Malaysia seperti dirancangkan adalah kekal, tiada perubahan setakat ini di mana semua pasukan Liga Malaysia kini sedang giat melakukan persiapan rapi,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.
Seperti mana keputusan yang diumumkan oleh MFL pada 17 Julai lalu, Liga Malaysia 2020 yang ditangguhkan sejak 16 Mac lalu akibat penularan pandemik COVID-19 akan kembali bersambung pada 26 Ogos dengan aksi serentak CIMB Liga Super dan Liga Premier
manakala saingan TM Piala Malaysia akan bermula pada 17-18 Oktober depan.
Bagaimanapun perlawanan tertunda iaitu aksi CIMB Liga Super yang menemukan PJ City FC dengan Terengganu FC serta perlawanan Liga Premier UKM FC bertemu Kelantan akan dimainkan pada 22 Ogos 2020.
Dalam masa yang sama, Dato’ Ab Ghani mengingatkan kepada pemain, pegawai dan semua pihak yang terlibat mengikuti SOP serta mengekalkan momentum seperti sesi latihan Fasa 1.
“MFL optimis dengan mematuhi arahan SOP dan menuntut disiplin tinggi daripada semua pihak untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19 adalah selaras dengan saranan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman baru- baru ini sebagai usaha untuk mencegah penularan wabak Covid-19,” tegasnya.
Add Comment