Bola Sepak Semasa

Kelantan tetap positif

KETUA jurulatih Kelantan FA, Yusri Che Lah menegaskan pasukannya terus positif bagi menghadapi baki saingan Liga Premier 2020 meskipun lewat memulakan latihan apabila hanya mendapat kebenaran daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk berlatih, semalam.

Kelantan sebelum ini masih tidak dibenarkan menjalani latihan kerana masih belum melengkapkan dokumen yang diperlukan, meskipun kerajaan sudah memberi ‘lampu hijau’ mengadakan latihan tanpa kontak pada 15 Jun dan latihan bersentuhan pada 15 Julai.

Kelantan memulakan latihan pertama hari ini bagi mempersiapkan diri untuk menghadapi perlawanan tertunda menentang UKM FC pada 22 Ogos depan.

Sudah pasti, ia bukan merupakan tugas mudah untuk Yusri mempersiapkan pasukan dengan masa yang suntuk ini apatah lagi mereka akan memulakan perlawanan lebih awal berbanding pasukan lain yang hanya akan beraksi bermula 26 Ogos.

Namun, bekas pengendali Kuala Lumpur ini menyifatkan lawan mereka iaitu UKM FC juga turut berdepan situasi yang sama apabila baru sahaja memulakan latihan pertama kelmarin dan peluang adalah sama rata untuk kedua-dua pasukan ini meraih tiga mata penting.

“Pertama sekali, saya bersyukur kerana akhirnya kita dapat berlatih juga selepas sekian lama dan terima kasih kepada pihak pengurusan termasuklah MFL yang memberi lampu hijau kepada Kelantan untuk memulakan latihan.

“Sebenarnya memang masa terlalu singkat untuk kami, tetapi saya percaya semua pemain akan bekerja keras untuk melakukan sehabis baik di mana mereka juga faham mengenai situasi sebelum ini yang melambatkan proses untuk pasukan berlatih lebih awal.

“Namun, kita tahu UKM FC juga dalam situasi yang sama kerana mereka baru berlatih, jadi kelebihan tidak memihak kepada sesiapa baik Kelantan dan UKM FC sebab kedua-duanya mempunyai peluang sama rata untuk menang.

“Saya harap pemain dapat menyesuaikan diri dengan segera dalam padang apatah lagi sekarang ini, pemain import dari Korea Selatan Kang Seung-Jo juga sudah meninggalkan pasukan, jadi saya tidak sanggup lagi kehilangan mana-mana pemain dan kita akan beraksi habis-habisan dengan kudrat yang ada,” katanya.

Tambah Yusri, apa yang menjadi keutamaanya ketika ini sebaik sahaja memulakan latihan adalah tahap kecergasan pemain dan keserasian pasukan sebelum mereka beraksi dalam perlawanan sebenar, bulan hadapan.

Jelasnya, dua perkara itu amat penting khususnya dalam masa yang cukup terhad kerana barisan pemain sudah terlalu lama meninggalkan latihan di atas padang dan perlu memastikan tahap kecergasan berada di tahap terbaik selain mencipta kembali keserasian pemain selepas ini.

“Saya tahu bukan mudah untuk pemain-pemain kejar balik segala latihan rapi dalam masa yang singkat, tetapi saya ingin tekankan apa pun yang jadi, mereka harus mendapatkan kembali tahap kecergasan kerana tanpa stamina yang tinggi, apa pun tidak akan menjadi di atas padang.

“Untuk musim ini, kita fokus betul-betul bukan sahaja dalam liga, tetapi sekurang-kurangnya mampu layak beraksi di Piala Malaysia,” jelasnya.

Kelantan ketika ini berada di tangga ke-7 Liga Premier 2020 dengan hanya satu kemenangan sahaja dalam tiga perlawanan setakat ini.

Selain perlawanan antara Kelantan dan UKM FC, perlawanan tertunda CIMB Liga Super juga akan berlangsung pada 22 Ogos membabitkan aksi antara PJ City FC dan Terengganu FC.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: