Bola Sepak

Kelate.Net cadangkan Wan Rakemi terajui KAFA


Wan Rakemi dilihat calon berkelayakan untuk mengisi jawatan presiden KAFA selepas Wan Abdul Rahim meletak jawatan, awal bulan ini

PENGARAH Urusan After Image Sdn Bhd, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari dilihat calon paling layak untuk menerajui Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), kata Kelab Penyokong Bola Sepak Siber Kelantan Darul Naim (Kelate.Net).

Presidennya, Mohd Nurul Md Yusoh berkata, bekas Bendahari KAFA itu merupakan individu berkelayakan untuk mengisi jawatan presiden selepas Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah meletak jawatan, 6 Julai lalu.

“Kalau kita lihat latar belakangnya, Wan Rakemi datang daripada bidang korporat dan saya percaya beliau memiliki kredibiliti dan keupayaan untuk mengambil alih tanggungjawab mengemudi Kafa.

“Namun segala-galanya terserah kepada penilaian PBJ (Persatuan Bola Sepak Jajahan) dan tidak salah buat mereka untuk mencadangkan Wan Rakemi (sebagai presiden baharu) kepada Kafa,” katanya kepada Cakap Sukan hari ini.

Pada 28 Jun lalu, Wan Abdul Rahim mengumumkan berehat sementara daripada jawatan presiden KAFA namun kurang 10 hari kemudian beliau secara rasmi menghantar surat perletakkan jawatan.

Mohd Nurul lihat Wan Rakemi calon berkelayakan untuk memimpin KAFA.

Menurutnya, walaupun KAFA ketika ini diterajui pemangku presiden, Datuk Shaari Mat Husain namun badan induk bola sepak Kelantan itu masih belum mempunyai hala tuju yang jelas terutama dalam menyelesaikan hutang lapuk mereka.

Ujarnya lagi, Wan Rakemi yang merupakan Pengarah Urusan Team Red Warriors (TRW) Sdn Bhd yang menguruskan pasukan Liga Premier Kelantan diyakini mampu mencari dana bagi menyelesaikan hutang secara berperingkat-peringkat yang membelenggu persatuan itu.

“Ketika beliau menjadi Pengarah Urusan TRW Sdn. Bhd, beliau telah mengeluarkan duit poket sendiri semata-mata mahu menyelamatkan pasukan Kelantan” katanya.

Pada masa sama, tegas Mohd Nurul, pihak Kelate.Net juga bersikap terbuka dengan menyokong mana-mana individu lain sekiranya ada yang mahu tampil membantu menyelesaikan krisis kewangan dialami KAFA, ketika ini.

“Penyokong melihat sekarang adalah masa genting untuk menyelamatkan bola sepak Kelantan daripada digantung FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) agar kita tidak alami nasib seperti Perlis.

“Kita tak mahu bola sepak Kelantan yang menjadi sukan nombor satu di negeri ini berkubur begitu sahaja dan menjadi lipatan sejarah bola sepak negara,” katanya lagi.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading