Bola Sepak Semasa

UKM FC kena kerja ‘lebih’

MENJADI salah satu pasukan yang baharu memulakan latihan pada Fasa 2, UKM FC mengakui mereka tiada pilihan selain terpaksa bekerja lebih keras bagi mendapatkan kembali kecergasan pemain dalam baki tempoh empat minggu sebelum menghadapi Kelantan pada 22 Ogos.

Ketua jurulatihnya, Sulaiman Hussin berkata, beliau terpaksa mengubah corak latihan pasukan daripada biasa dan semua pemain memahami keadaan itu perlu dilakukan demi memastikan mereka bersedia beraksi secara kompetitif.

Malah, beliau berharap pemainnya mampu berada di tahap kekuatan fizikal dan kecergasan yang diperlukan dalam tempoh dua minggu ini kerana tumpuannya selepas ini adalah kepada soal pembentukan keserasian semula pemain dan taktikal melalui perlawanan persahabatan.

“ Dalam tempoh empat minggu sahaja yang saya ada, memang saya terpaksa gunakan apa sahaja masa yang tinggal ini walaupun saya akui pemain pasti berdepan masalah kelesuan dan kecederaan ekoran masa yang terlalu singkat.

“ Saya terpaksa mengubah program dengan berikan tumpuan kepada program intensiti tinggi namun saya akan seimbangkan dengan waktu rehat yang bersesuaian sebelum bersambung berlatih kembali.

“ Kita sudah tiada masa dan pemain juga boleh memahami selepas saya berikan penerangan kepada mereka, pemain terpaksa kerja keras dalam tempoh satu ke dua minggu ini sebab selepas ini kami sudah tidak masa nak beri tumpuan kepada kecergasan atau fizikal.

“ Saya percaya selepas 2 Ogos nanti iaitu kebenaran mengadakan perlawanan persahabatan, saya mampu dapatkan dalam dua ke tiga perlawanan persahabatan agar kami mampu bersedia untuk hadapi Kelantan, ” katanya.

UKM mula mengadakan latihan pada 18 Julai lalu selepas mendapat kebenaran daripada Malaysian Football League (MFL) dan mereka menjadi antara pasukan terawal beraksi sebaik liga disambung sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran aksi pada 6 Mac lalu di Stadium Majlis Perbandaran Selayang ditunda kerana cuaca buruk.

Menduduki tangga kelapan di Liga Premier melalui pungutan empat mata, kemenangan tunggal skuad dari Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) itu ialah ketika bertemu Kuching FA, 2-1 selain seri tanpa jaringan menentang Johor DT II dan tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan.

Sementara itu, Sulaiman mengakui beliau menjangkakan akan lebih melakukan penggiliran pemain berdasarkan faktor jarak perlawanan yang rapat sebaik liga bersambung pada Ogos depan.

Namun semuanya bergantung kepada keupayaan setiap pemain yang sebelum ini jarang mendapat peluang beraksi untuk cuba bersaing dengan tonggak utama pasukan pada sesi latihan.

“ Saya berharap pemain-pemain yang sukar mendapat peluang bermain pada 3 perlawanan pertama mampu tingkatkan prestasi kerana jika ada pemain utama yang merudum prestasi atau mendapat kecederaan, mereka boleh mendapat tempat dalam kesebelasan.

“ Ini memudahkan saya melakukan jarak rehat yang bersesuaian terhadap semua pemain dan jumlah pemain yang besar serta bersedia diturunkan pada bila-bila masa memudahkan saya melakukan penggantian jika keadaan memerlukan, ” katanya.

 

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: