Bola Sepak Semasa

Luqman minta maaf

 

Oleh : MOHD.FARIQ

PENYERANG muda negara, Luqman Hakim Shamsudin mengakui keputusan untuk menyertai kelab KV Kortrijk (KVK) bukan sahaja melibatkan perkembangan karier sebaliknya turut membantunya membentuk menjadi insan lebih baik.

Jelasnya yang enggan membuka mulut berhubung kesilapan yang dilakukan, dia optimis penghijrahannya ke KVK akan membuka satu dimensi baharu untuk berubah menjadi insan lebih berguna.

Luqman memaklumkan ibunya kerap menasihati dan dia kini mahu fokus kepada KVK.

Berbekalkan nasihat ibunya, Hasmah Che Soh, Luqman berazam tidak mahu lagi mengulangi kesilapan sama yang boleh menjejaskan masa depannya untuk berjaya di Eropah pada masa akan datang.

“Saya memohon maaf tentang kesilapan saya lakukan selama ini. Mungkin di usia muda saya telah membuat beberapa kesilapan tetapi saya ingin berubah.

“Ibu saya kerap menasihati saya dan saya mahu fokus kepada KVK buat masa ini. Sejujurnya, saya tidak terganggu dengan gangguan luar atau dari mana-mana pun buat masa ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, nasihat diberikan kepadanya sangat dihargai, namun terlalu ramai ingin menjadi penasihat dirinya.

“Saya tahu siapa yang jujur dengan saya di mana saya menghormati semua orang. Apapun, saya berjanji tidak akan melakukan kesilapan lalu dan apakah kesilapan itu biarlah menjadi rahsia saya sahaja,” katanya.

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan perpindahan Luqman yang tersenarai dalam pencalonan Golden Boy musim 2019/2020, mendapat banyak sokongan positif daripada kesemua pihak.

Pemilik KVK, Tan Sri Vincent Tan memberitahu beliau memiliki modul dalam usaha membimbing Luqman berjaya di bumi Belgium selepas pihak kerajaan telah memberikan kebenaran kepada Luqman untuk terbang ke Belgium pada bulan depan.

Sementara itu, Luqman yang telah menjalani sesi pemeriksaan kesihatan di KPJ Damansara semalam sebagai pra syarat untuk ke Belgium, melahirkan penghargaan kepada Vincent Tan yang sentiasa membantunya memenuhi impian bermain di pentas Eropah.

Dalam masa yang sama, pemain kelahiran Kelantan itu turut berterima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang masih membenarkannya berlatih bersama skuad Selangor 2 biarpun membuat kenyataan rasmi melepaskan Luqman pada 4 Julai lalu.

Apa yang pasti, Luqman mengakui menarik nafas lega selepas berjaya mendapatkan Perakuan Tingkah Laku (Certificate of Good Conduct) di mana perakuan itu menjadi ‘lesen’ paling penting buatnya ke Belgium untuk permit kerja dan visa.

“Saya sangat bersyukur kerana semua urusan seperti Perakuan Tingkah Laku telah berjalan mengikut perancangan dan seperti saya katakan tadi, saya mahu fokus kepada KVK.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Tan Sri (Vincent Tan) kerana beliau telah memberikan peluang ini kepada saya.

“Tidak dilupakan juga kepada FAS di mana saya masih berlatih bersama mereka untuk mengekalkan tahap kecergasan saya.

“Walaupun saya dah menandatangani kontrak rasmi dengan KVK pada 6 Julai lalu, saya sudah tidak sabar untuk mengikuti kesemua program di bawah KVK,” katanya.

Luqman akan berlepas ke Belgium pada awal Ogos depan sebelum menyertai KVK dan bermain di Liga Belgium yang dijangka bermula pada akhir Ogos atau September ini.

https://www.sinarharian.com.my/article/93148/BERITA/Sukan/Luqman-tutup-buku-lama

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: