CRISTIANO Ronaldo lebih menumpukan kepada kemenangan pasukan Juventus berbanding mengejar rekod peribadi.
Awal pagi tadi, Juventus mengalahkan Lazio 2-1 Stadium Allianz dan Ronaldo menjaringkan kedua-dua gol pada pertemuan itu.
Tambahan dua gol itu juga memastikan Ronaldo merekod 30 gol dalam Serie A dan berkongsi senarai penjaring terbanyak bersama Ciro Immobile musim 2019/20.
Persaingan kedua-kedua pemain ini bakal menjadi sengit memandangkan kempen
liga berbaki empat perlawanan lagi.
Ronaldo kini sudah mengumpul 51 gol di Liga Itali selama dua musim memperkuatkan Juventus.
Jaringan itu meletakkan nama Ronaldo untuk mengukir rekod baru, iaitu menghasilkan 50 gol atau lebih, di tiga liga top Eropah (Liga Inggeris, Liga Sepanyol, dan Liga Itali).
Dia juga menjadi pemain terpantas yang meraih 50 gol dari 61 perlawanan di Liga Itali. Rekod sebelum ini dilakar Andriy Shevchenko yang mencatat 68 perlawanan bersama AC Milan.
“Rekod selalu penting, tetapi yang penting adalah kemenangan pasukan. Kami adalah pasukan yang bagus. Kami mahu terus meningkatkan kualiti permainan,” kata Ronaldo kepada Sky Sport Italia.
Kemenangan ini mengukuhkan kedudukan Juventus di puncak liga dengan 80 mata.
“Kami tahu ia satu pertandingan yang sangat sukar melawan pasukan yang memiliki musim yang hebat (Lazio), tetapi kami tahu ini adalah peluang besar untuk menang, kami berada di laman sendiri. Kami gembira,” ujar Ronaldo lagi.
Pasukan pimpinan Maurizio Sarri unggul lapan mata di atas berbanding Inter Milan di posisi kedua. Gelaran Scudetto semakin hampir dengan kempen liga berbaki empat pertandingan lagi.
Add Comment