Bola Sepak

Wan Abdul Rahim akhirnya undur diri


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengesahkan presidennya, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah sudah melepaskan jawatan nombor satu itu berkuat kuasa 6 Julai lalu.

Setiausaha Agungnya, Husin Deraman berkata, keputusan itu dibuat atas kerelaan diri tanpa ada paksaan mana-mana pihak ketika badan induk bola sepak Kelantan itu berdepan krisis kewangan, ketika ini.

“Beliau letak jawatan bermula 6 Julai lalu, genap setahun beliau menerajui barisan kepimpinan KAFA. Selepas mesyuarat exco pada 29 Jun dimana beliau minta untuk berehat, dalam tempoh itu beliau nampak Datuk Shaari (Mat Husain) boleh terajui (memangku jawatan presiden) KAFA, jadi 6 Julai beliau buat keputusan letak jawatan.

“Keputusan (lepaskan jawatan) itu datang daripada beliau sendiri. Beliau seorang yang profesional, bila tak mampu beliau minta orang lain gantinya,” katanya kepada Cakap Sukan.

Selain Wan Abdul Rahim, KAFA turut kehilangan dua naib presiden mereka iaitu Datuk Mohd Rowi Dollah dan Profesor Zaliman Sauli yang mengundur diri daripada persatuan itu, bulan lalu.

Husin memberitahu, KAFA mengucapkan setinggi penghargaan kepada Wan Abdul Rahim di atas sumbangan beliau termasuk memastikan Kelantan tidak tergelincir ke saingan Liga Amatur M3, penghujung musim lalu.

“Masa mula ambil alih KAFA dulu, beliau berusaha menyelamatkan Kelantan ketika kita hampir turun ke Liga M3. Alhamdulillah, selepas kita ambil alih dengan menyelesaikan gaji semasa, budak-budak (pemain) bangkit semula untuk kita kekal di Liga Premier,” ujarnya.

Ditanya keperluan untuk mengadakan Kongres Luar Biasa (EGM) bagi mencari pengganti Wan Abdul Rahim, beliau menjelaskan tidak keperluan untuk KAFA berbuat demikian, setakat ini.

“Buat masa sekarang kita berpendapat tidak perlu EGM, sebab pasukan pun dah nak memulakan latihan dan liga dah nak sambung bulan depan. EGM tidak menjadi isu, kita bergerak dengan mana (kepimpinan) yang ada, Datuk Shaari pun nampak berkemampuan,” jelasnya lagi.

Sementara itu, mengenai status Datuk Seri Afandi Hamzah, beliau memberitahu, Timbalan Presiden KAFA itu masih ‘berehat’ daripada menjalankan tugas-tugas pentadbiran sehingga satu tempoh yang tidak ditetapkan.

“Kita tunggu (status) beliau macam mana nanti,” katanya ringkas.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d