Bola Sepak

Dua aksi persahabatan uji B19


SKUAD bawah 19 tahun bakal mengadakan dua perlawanan persahabatan sebelum tamat kem latihan pusat pertama pada 26 Julai nanti.

Ketua jurulatih skuad B-19 negara, Brad Maloney bagaimanapun menjelaskan  masih belum memutuskan dua lawan bakal dihadapi anak-anak buahnya.

“Kami bercadang untuk mengadakan dua perlawanan persahabatan. Sekarang fokus kami lebih kepada memastikan para pemain bersedia untuk menghadapi dua aksi persahabatan nanti,” ujarnya sewaktu sesi latihan skuad B-19 di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia di Kelana Jaya petang tadi.

Mengulas empat pemain yang  digugurkan, Maloney mengambil keputusan tersebut memandangkan pemain tersebut berada ditahap kecergasan kurang memuaskan.

“Selepas dua minggu penilaian, kami mendapati empat pemain ini sedikit ketinggalan di belakang pemain-pemain lain dari segi tahap kecergasan.

“Jadi, kami menasihatkan mereka untuk pulang ke negeri masing-masing dan cuba mendapatkan semula tahap stamina terbaik.  Mereka tetap berada dalam radar untuk dipanggil pada masa depan,” ujarnya menegaskan pengguguran keempat-empat pemain berkenaan tidak bermakna pintu sudah tertutup buat mereka untuk dipanggil semula dalam kem latihan skuad B-19 selepas ini.

Empat pemain yang terpaksa meninggalkan kem latihan pusat fasa pertama itu ialah penjaga gol dari Sabah, Mohd. Azlizan Mohd. Azlan, Mohammad Nazemizan Naslon (Sabah), Mohammad Zarif Syamil Mohammad Zaman (Melaka) dan Abdul Raziq Abdul Rahim (Melaka).

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d