
MELAKA United bakal mengadakan sekurang-kurangnya dua perlawanan persahabatan sebagai persediaan awal mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang dijangka dijadualkan pertengahan bulan ini.
Ketua Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan berkata, pasukannya perlu mengadakan sekurang-kurangnya dua perlawanan persahabatan bagi memastikan barisan pemainnya berada dalam prestasi terbaik sebelum saingan Liga M bermula.
“Minima dua perlawanan persahabatan, satu menentang pasukan Liga M3 dan satu lagi menentang pasukan Liga Premier sebelum saingan Liga Super 2020 kembali bersambung, namun pasukan-pasukan itu masih belum memberi jawapan,” ujarnya yang dipetik melalui laman facebook Melaka United Soccer Association -MUSA.
Mengulas latihan pasukan ketika ini, Zainal Abidin melihat ada peningkatan ditunjukkan para pemain yang telah menjalani latihan selama dua minggu selepas dibenarkan berlatih.
“Saya bangga dengan pemain-pemain semasa cuti tiga bulan sepanjang PKP mereka mengikuti program-program yang diberi dan setelah kembali nampaknya mereka dalam ‘shape’ yang baik, jadi tidak banyaklah kerja yang perlu dilakukan barisan jurulatih tetapi kami perlu juga meneliti setiap pemain.
“Jadi masuk minggu yang ketiga, kita masih lagi menunggu SOP yang baharu bermakna latihan tanpa sentuhan dan juga had para pemain yang boleh berlatih bersama dalam dalam satu masa masih diamalkan, sementara menantikan kebenaran perlawanan persahabatan untuk mempersiapkan pasukan,” ujarnya.
Add Comment