
SIAPA sangka, nama Khalid Jamlus pernah berada dalam bayangan minda Timbalan Menteri Belia dan Sukan Senator, Wan Ahmad Fayshal Wan Kamal.
Jelasnya, beliau antara individu yang membesar dan menonton Khalid semasa bekas pemain bola sepak berada di puncak kerjaya.
“Tengah hari tadi saya selesai mengadakan pertemuan bersama lagenda bola sepak negara, saudara Khalid di pejabat.
“Alhamdulillah, pertemuan kami juga turut disertai Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).
“Apabila individu yang saya secara peribadi anggap sebagai hero ditimpa masalah, sudah tentu saya rasa terpanggil,” katanya menerusi Facebook rasminya hari ini.
Menurut beliau, di KBSMalaysia, pihaknya sentiasa membuka pintu seluas-luasnya untuk semua warga dunia persukanan, apatah lagi buat atlet-atlet yang sudah membanting tulang mengharumkan nama negara dipersada dunia.
“Saya maklum kepada Khalid, KBSMalaysia dibawah pimpinan YB Datuk Seri Reezal Merican sentiasa menjadikan kebajikan para atlet dan para atlet veteran yang telah bersara dalam perhatian kami.
“Saya juga sampaikan salam YB Datuk Seri Reezal Merican, Menteri Belia dan Sukan kepada beliau. Semoga semua urusan kita dimudahkan serta dilapangkan rezeki. InsyaAllah,” katanya.
Sebelum ini, bekas pemain Perak dan Harimau Malaya itu bertindak melelong beberapa barangan peribadi termasuk kasut emas, jersi dan pingat yang dimenanginya sebelum ini
Pada Jumaat lalu, Khalid melelong kasut emas yang dimenanginya selepas menjuarai Liga Perdana pada 2002 dengan harga bidaan RM10,500 menerusi sesi Facebook Live.
Add Comment