Bola Sepak Semasa

Persiapan Bawah 19 tahun mantap

Rezal (tengah) hadir menyaksikan latihan B19 di Wisma FAM, semalam.

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, teruja melihat persiapan skuad Bawah 19 tahun negara (B-19) yang akan berjuang di pusingan akhir Kejohanan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada 14 hingga 31 Oktober depan.

Walaupun masih belum boleh menjalani latihan secara kontak namun semangat serta kekuatan ditunjukkan skuad yang dikendalikan oleh Brad Maloney begitu mengagumkan dan berharap mereka boleh menjalani secara penuh tidak lama lagi.

Beliau juga berharap skuad B-19 ini mampu menyinar di Tashkent, Uzbekistan biarpun tanpa meletakkan sebarang sasaran tertentu bagi kempen pusingan akhir Kejohanan B-19 AFC.

“ Saya telah diberi taklimat mengenai kesediaan skuad bawah 19 dan walaupun bola sepak pada waktu ini dalam tempoh PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan), hanya dibenarkan latihan tanpa kontak , saya boleh lihat kesungguhan dan semangat 35 pemain yang jalani latihan.

“ Diharapkan dengan perkembangan pada satu atau dua hari ni, akan ada perubahan beberapa bentuk sukan yang boleh dibuka dan lebih dibenarkan yang kita sedang dapat pada waktu ini.

“Situasi ini akan menyaksikan latihan (bola sepak) dapat dijalankan secara penuh dan boleh memastikan tahap persediaan mereka lebih berkesan dalam menghadapi kejohanan akhir yang akan diadakan di Tashkent pada bulan Oktober nanti, ” katanya.

Reezal berkata demikian selepas meninjau persiapan skuad B-19 di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersama Presiden FAM dan Liga BolaSepak Malaysia (MFL), Datuk Hamidin Mohd Amin malam tadi.

Skuad B-19 diundi dalam Kumpulan D bersama juara edisi 2014, Qatar selain Tajikistan dan Yemen pada pusingan akhir Kejohanan B-19 dan kini sedang menjalani latihan bermula 6 hingga 26 Julai.

Skuad B19 menjalani latihan sebagai persiapan Kejohanan B-19 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada 14 hingga 31 Oktober depan.

Sementara itu, Reezal mengharapkan impak Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) yang digerakkan sejak daripada dahulu akan mula membuahkan hasil pada skuad B-19 negara.

Bukan sekadar di Kejohanan Pusingan Akhir AFC B-19, beliau turut mengharapkan pemain ini secara individu mampu menyerlah di saingan liga peringkat domestik atau di pentas luar negara.

“Sama ada mereka bermain di dalam atau luar negara, sudah tentu diharapkan mampu menjadi nilai tambahan kepada pasukan kebangsaan dan apa yang penting, hasil daripada pembangunan peringkat awal yang kita sudah jalankan sebelum ini.

“Kita telah adakan NFDP sebelum ini dan mahu melihat apakah keputusan walaupun saya bukanlah pemulanya kerana pemula adalah menteri -menteri yang lalu.

“Permulaan ideanya datang daripada Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebelum idea itu digubal secara komprehensif di bawah Khairy Jamaluddin, mungkin kejayaannya nanti kita boleh tengok selepas banyak pelaburan telah dilakukan selepas tiga empat tahun lalu, “ katanya.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: