Bola Sepak Semasa

Dokumen Kalonda tidak sah

Stuart menjelaskan FAM cukup tegas dalam proses pengesahan status pemain dan tidak memandang ringan syarat dan kaedah yang perlu dipatuhi.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menutup sepenuhnya proses dan langkah untuk mendaftarkan Marcel Kasongo Kalonda, pemain pertahanan berusia 22 tahun dari Congo yang mendakwa mempunyai darah campuran Malaysia setelah didapati mengemukakan dokumen mengandungi maklumat yang tidak sahih

Langkah ini diambil selepas FAM membuat semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) termasuk menghantar surat kepada Persekutuan Bolasepak Congo (FECOFOOT) dan wakil konsulat Congo di Malaysia.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, susulan berita mengenai Kalonda tersebar di media sosial, FAM mengambil langkah pertama menghubungi sendiri Kalonda bagi mendapatkan pengesahan daripadanya.

“FAM memaklumkan kepada Kalonda mengenai syarat kelayakan pemain untuk mewakili skuad kebangsaan Malaysia, Harimau Malaya di bawah peraturan yang ditetapkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan telah memberikan senarai semak (checklist) untuk pemain berkenaan menghantar dokumen-dokumen yang diperlukan kepada FAM bagi tujuan pengesahan dan penelitian kesahihannya.

“Setelah menerima dokumen-dokumen lengkap yang diperlukan itu daripada Kalonda, FAM menghubungi pihak yang berkenaan bagi mendapatkan kesahihan terhadap dokumen-dokumen yang diterima, termasuk menghantar surat kepada Persekutuan Bolasepak Congo (FECOFOOT) dan wakil konsulat Congo di Malaysia serta berhubung dengan JPN bagi semakan dan pengesahan dokumen berkaitan.

” Susulan itu, semalam, FAM telah menerima surat maklum balas daripada JPN memaklumkan bahawa selepas semakan dan siasatan dibuat, satu daripada dokumen berkenaan didapati mengandungi maklumat yang tidak sahih.

“Selepas menghubungi Kalonda untuk memaklumkan hasil semakan dan siasatan JPN itu, FAM dengan ini membuat keputusan untuk menutup terus proses dan langkah berikutnya,” ujarnya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, sebentar tadi.

Selepas semakan dan siasatan dibuat, satu daripada dokumen berkenaan Kalonda didapati mengandungi maklumat yang tidak sahih. (Foto : beritasukan.com)

 

Pada masa sama, Stuart menjelaskan FAM cukup tegas dalam proses pengesahan status pemain dan tidak memandang ringan syarat dan kaedah yang perlu dipatuhi sebelum pakar-pakar teknikal melakukan penilaian terhadap tahap dan prestasi pemain berkenaan.

“Adalah menjadi tanggungjawab FAM selepas mendapat sesuatu maklumat, untuk mengambil langkah susulan dengan melakukan siasatan, penelitian dan pengesahan sebelum membuat apa-apa kenyataan rasmi dan atas sebab itulah FAM tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung Kalonda sebelum ini.

“FAM ingin menasihatkan semua pihak terutama netizen dan peminat bola sepak negara supaya tidak terlalu ghairah atau cepat teruja apabila mendengar berita mengenai seseorang pemain itu mempunyai darah campuran Malaysia kerana ia perlu melalui proses pengesahan dokumentasi terlebih dahulu sebelum pemain itu boleh dipertimbangkan untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

“FAM memberi amaran kepada mana-mana individu supaya tidak sewenang-wenangnya melakukan kesalahan seperti memalsukan dokumen kewarganegaraan Malaysia dan kedaulatan negara,” ujarnya.

 

 

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: