Olahraga Semasa

Persiapan SUKMA XX Johor berjalan lancar

1
Reezal Merican (dua, kanan) ketika meninjau perkembangan persiapan SUKMA XX hari ini.

PERSIAPAN giat dijalankan pihak penganjur SUKMA XX bagi memastikan kesemua venue siap menjelang tarikh kejohanan yang dijangka diadakan pada suku pertama 2021.

Di sebalik penularan wabak Covid-19 yang melanda negara dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, sekretariat SUKMA XX terus komited untuk memastikan kesemua persiapan venue diteruskan dan memenuhi tahap piawaian yang ditetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) pasca Covid-19.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, berdasarkan tinjauan yang dilakukan pada hari ini, persiapan untuk SUKMA XX Johor telah mencapai antara 95 hingga 97 peratus.

“Di Pusat Akuatik Arena, hanya kolam untuk atlet memanaskan badan sahaja yang boleh disiapkan dalam tempoh kurang sebulan.

“Kita sedia maklum bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan berakhir pada 31 Ogos, dan kita akan bermesyuarat untuk menyediakan SOP berpandukan SOP sedia ada untuk dijadikan sebagai panduan bagi penganjuran SUKMA XX tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan rasmi ke gelanggang bagi temasya SUKMA XX Johor 2020. Antara gelanggang yang dilawati adalah Pusat Akuatik Larkin, Stadium Tertutup Arena Larkin dan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos dan beliau amat berpuas hati dengan segala persiapan yang telah dijalankan.

2
Stadium Tertutup Arena Larkin.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata. meskipun temasya SUKMA XX Johor 2020 terpaksa ditangguhkan akibat pandemik COVID-19, persiapan bagi sukan dwi-tahunan ini tetap diteruskan.

“Kami kekal fokus untuk menjadikan SUKMA XX Johor (kali pertama menjadi tuan rumah pada 1992) sebagai edisi yang penuh gilang-gemilang dengan memastikan kesemua aspek penganjuran berada pada tahap terbaik,” ujarnya.

Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd (KPRJ), sebuah syarikat pemaju utama dalam projek infrastruktur di negeri Johor telah dipertanggungjawabkan di dalam membina fasiliti sukan yang baharu serta menaiktaraf gelanggang sukan sedia ada bagi memastikan ianya mencapai piawaian kelas dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ, Datuk Haji Mohd Noorazam Osman berkata, dengan kesemua fasiliti sudah mencapai piawaian antarabangsa, Johor kini bersedia untuk menganjurkan era baharu pertandingan sukan berkelas dunia serta boleh menganjurkan bukan sahaja acara sukan peringkat kebangsaan malah juga peringkat antarabangsa.

Turut hadir, ‘On Jabbar yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Sports Johor Sdn. Bhd (anak syarikat KPRJ).

Menurut laporan, kemajuan kesiapsiagaan gelanggang SUKMA XX yang dibentangkan pada 16 Jun lalu, hampir keseluruhan daripada 39 venue yang bakal digunakan sudah disiapkan atau sudah 90 peratus.

Tumpuan utama seharusnya pada Stadium Olahraga, Kompleks Sukan Johor dengan Sijil Perakuan Siap (CCC) telah dikeluarkan pada 17 Februari lalu.

Bagi Pusat Akuatik Larkin pula, ia kini 99.72 peratus siap yang mana akan mempertandingkan acara renang dan terjun. Pusat ini dalam proses menunggu kelulusan untuk dibuka selepas berjaya memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Mercu tanda terbaru sukan Johor, Velodrom Johor yang terletak di Iskandar Puteri kini sudah siap 97.59 peratus selepas pembinaannya bermula pada 28 Februari 2019.

Satu lagi venue baru yang dibina untuk memenuhi keperluan SUKMA XX, Arena Emas bertempat di Taman Impian Emas bagi sukan memanah, skuasy, petanque dan boling padang juga sudah 97.59 peratus siap selepas memulakan pembinaan pada 15 Februari 2019.

Bagi sukan badminton yang akan dipertandingkan di Stadium Tertutup Arena Larkin, venue tersebut kini sudah 98.88 peratus siap selepas upacara pecah tanah pada 19 September 2017.

Sejumlah 32 sukan akan dipertandingkan pada SUKMA XX Johor dengan 16 daripadanya adalah sukan wajib, 15 adalah sukan pilihan dan satu sukan demonstrasi – silambam.

SUKMA XX akan dilangsungkan di tiga daerah iaitu Johor Bahru, Muar dan Kota Tinggi. Johor Bahru akan menganjurkan majoriti 28 sukan yang dipertandingkan manakala Muar pula akan menjadi tuan rumah buat tiga sukan (kanu, angkat berat & silambam) dan baki dua lagi sukan di Kota Tinggi (pelayaran & berbasikal lebuh raya).

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: