Bola Sepak Semasa

FAM terus bantu

FAM menerima kunjungan Pesuruhjaya Sukan, Dr Wirdati Mohd Radzi (tiga,kiri) dan pegawai-pegawai dari Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia di Wisma FAM, Kelana Jaya.

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) kini sedang giat membantu kelab-kelab yang beraksi dalam CIMB Liga Super 2020 dan Liga Premier 2020 bagi melengkapkan proses penswastaan kelab iaitu pemisahan dari Persatuan Bola Sepak (FA) ke Kelab Bola Sepak (FC) menjelang garis masa yang ditetapkan iaitu September 2020.

Langkah untuk melakukan proses tersebut telah pun diarahkan oleh FAM kepada kelab-kelab yang bertanding itu pada Februari 2020, namun ia dilihat agak sedikit perlahan dan terjejas ekoran pandemik COVID-19 yang menyaksikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dikuatkuasakan bermula 18 Mac 2020.
Bagaimanapun selepas kelonggaran diberikan menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai 10 Jun 2020, wakil dari Unit Pelesenan Kelab FAM dan Jawatankuasa Khas Bolasepak Profesional FAM telah berkunjung ke tiga buah kelab bagi memberikan taklimat dan penerangan berhubung proses penswastaan kelab ini.
Taklimat Jawatankuasa Khas Bolasepak Profesional FAM ke Pulau Pinang FA.
Ia dimulakan dengan lawatan ke Melaka FA pada 15 dan 16 Jun 2020, diikuti Pulau Pinang FA pada 25 dan 26 Jun 2020 dan juga Kuala Lumpur FA pada 1 Julai 2020 iaitu selepas FAM menerima permintaan daripada ketiga-tiga kelab berkenaan.
Kunjungan berkenaan telah disertai oleh Pengurus Pelesenan Kelab FAM, Andrew Soorian dan penolongnya, Vijash Naidu serta dua ahli Jawatankuasa Khas Bolasepak Profesional FAM iaitu Joshua Edgar dan Izahar Atan bagi membincangkan dan menjelaskan lebih lanjut mengenai proses penswastaan tersebut.
Sementara itu, pada Jumaat lalu (3 Julai 2020), Exco FAM, Mohd Firdaus Mohamed selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Bolasepak Profesional FAM bersama Setiausaha FAM, Stuart Ramalingam serta pentadbiran Pelesenan Kelab FAM telah menerima kunjungan daripada Pesuruhjaya Sukan, Dr Wirdati Mohd Radzi dan pegawai-pegawai dari Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Ia bagi membincangkan mengenai apakah langkah yang perlu dilakukan oleh kelab-kelab yang diswastakan ini supaya dapat mematuhi undang-undang sukan negara.
Justeru FAM berasa gembira dengan semua perkembangan ini dan berharap agar kelab-kelab lain yang memerlukan bantuan dapat menghubungi FAM supaya proses penswastaan kelab ini berjalan lancar mengikut perancangan.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: