Bola Sepak Semasa

34 pemain B19 lapor diri

Wan Kuzri hanya akan menyertai pasukan sejurus berakhir tempoh kuarantin selepas tiba di tanah air dari Amerika Syarikat.
PEMAIN dari kelab St. Loius Football Academy, Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal hanya akan melaporkan diri ke kem latihan pusat skuad B-19 kebangsaan kendalian Brad Maloney di Wisma FAM, sejurus berakhir tempoh kuarantin selepas tiba di tanah air dari Amerika Syarikat.
Menerusi siaran media yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebentar tadi, seramai 34 pemain telah hadir melaporkan diri ke kem latihan pusat hari ini bagi persiapan awal menghadapi Kejuaraan B-19 AFC 2020 di Uzbekistan, Oktober ini.
“Seorang lagi pemain iaitu Wan Ahmad Kuzri Wan Ahmad Kamal hanya akan menyusul kemudian untuk menyertai pasukan sejurus berakhir tempoh kuarantin selepas tiba di tanah air dari Amerika Syarikat.
“Sebaik melapor diri pada tengah hari tadi, seramai 17 pemain terus melakukan Ujian Calitan atau ‘Swab Test’ manakala baki pemain lain sudah pun melakukan ujian tersebut bersama kelab masing-masing sebelum ini.
“Sebelum turun menjalani sesi latihan pertama, para pemain mendengar taklimat daripada Maloney berkaitan program latihan serta pegawai pentadbir pasukan berkenaan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu dipatuhi memandangkan kem latihan pusat sehingga 26 Julai 2020 ini masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” jelas kenyataan tersebut.
Malaysia berjaya menempatkan diri dalam kalangan 16 pasukan terbaik ke pusingan akhir ini apabila meraih slot selaku juara saingan kelayakan bagi Kumpulan G selepas menewaskan Thailand 1-0 pada perlawanan terakhir di Phnom Penh, Kemboja pada 10 November 2019.

Bagi pusingan akhir ini nanti, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan D bersama juara edisi 2014 iaitu Qatar, Tajikistan dan Yemen pada majlis undian yang berlangsung di AFC House, Bukit Jalil pada 18 Jun 2020.

Kumpulan A menampilkan tuan rumah Uzbekistan, Indonesia, Kemboja dan Iran; Kumpulan B dibarisi Republik Korea, Jepun, Iraq dan Bahrain manakala Kumpulan C diisi oleh Arab Saudi, Australia, Vietnam dan Laos.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: