
TERSENARAI dalam kelompok besar 35 pemain ke Kem Latihan Pusat Skuad Bawah-19 (B-19) Kebangsaan cukup mengujakan hati Muhammad Amirul Akmal Safarinizam.
Masakan tidak, pemain dari Piala Presiden Kedah itu bersyukur kerana bakatnya selama ini dapat dihidu pengendali pasukan Brad Maloney.
Kini, dengan kem latihan yang akan bermula esok bertempat di Wisma FAM, Kelana Jaya hingga 26 Julai depan, Muhammad Amirul Akmal bertekad menyajikan aksi terbaik sepanjang sesi bagi menempat diri senarai akhir ke Uzbekistan.
Malaysia berjaya menempatkan diri dalam kalangan 16 pasukan terbaik ke pusingan akhir ini apabila meraih slot selaku juara saingan kelayakan bagi Kumpulan G selepas menewaskan Thailand 1-0 pada perlawanan terakhir di Phnom Penh, Kemboja pada 10 November 2019.
Bagi pusingan akhir ini nanti, Malaysia telah diundi dalam Kumpulan D bersama juara edisi 2014 iaitu Qatar, Tajikistan dan Yemen pada majlis undian yang berlangsung di AFC House, Bukit Jalil pada 18 Jun 2020.
“Saya tahu perlu bersaing hebat dengan rakan sepasukan lain untuk menghadapi Pusingan Akhir Kejuaraan B-19 AFC 2020.
“Cuma saya harus fokus dan menggandakan usaha dalam menajamkan lagi kemahiran dan membentuk persefahaman mantap dengan pemain lain,” ujarnya kepada Cakap Sukan ketika dihubungi.
Lebih dikenali Matyo dalam kalangan rakan seperjuangan, Muhammad Amirul Akmal sebenarnya dipanggil dengan nama timangan Mario oleh jurulatih skuad Presiden Kedah.
“Nama ini digelar oleh jurulatih dan saya tak kisah dan mula menyukainya,” seloroh beliau lagi.
Untuk rekod, dia telah menandatangani kontrak bersama pasukan Piala Presiden Kedah dibawah pengurus Presiden Kedah B-21 Farouk Ismail ( bekas pemain kembar Farouk & Fariza ) dan ketua jurulatih Fauzi Nan (bekas pemain Kedah).
Keupayaannya dalam menjana serangan pasukan Presiden Kedah berjaya menambat hati untuk dipanggil membarisi skuad kebangsaan B-19.
Jangan terkejut kerana dia juga pemain termuda dalam Presiden Kedah dan merupakan produk Sekolah Sukan Bukit Jalil dibawah bimbingan Haris Lajid.
Add Comment