Bola Sepak Komentar Semasa

Cardiff City Julang nama Malaysia

Sejujurnya saya sendiri tidak menyangka saya akan terjun dalam dunia bola sepak dan memiliki sebuah kelab yang bermain liga di England.

OLEH : MOHD FARIQ

**Mohd Fariq mempunyai pengalaman 20 tahun sebagai penulis sukan, khususnya bolasepak

TAMPIL dengan status sebagai bilionair terkemuka negara ternyata masih belum cukup untuk menjamin kejayaan dalam menguruskan pasukan bola sepak.

Sebaliknya, laluan berliku harus ditempuhi terlebih dahulu di mana tidak banyak pihak melihat kesukaran, kepahitan dan susah payah bergelut mentadbir sesebuah kelab sebelum menjadi lebih stabil dan berjaya.
Itulah ranjau yang dilalui Tan Sri Vincent Tan pada awal pembabitan beliau ketika mengambil alih pentadbiran kelab Cardiff City pada Mei 2010.

Kini, pengasas Berjaya Group itu menjadi pemegang saham majoriti Cardiff City. Beliau telah membeli beberapa saham pengarah lain dan memperoleh sekitar 82 peratus saham kelab yang terkenal dengan nama jolokan The Bluebirds itu.

Pejam celik pejam celik, Cardiff City kini meraikan ulang tahun ke-10 di bawah kepimpinan Vincent. Menyingkap kembali perjalanan beliau bersama Cardiff City, Vincent mendedahkan ia tidak semudah seperti yang disangka.

Apa yang pihak luar nampak ialah kejayaan beliau mengurangkan beban hutang sebanyak £70 juta pada tahun 2016 dan memastikan Cardiff City bebas hutang pada tahun depan selepas membeli kelab itu dengan nilai £6 juta.

Namun, di sebalik kejayaan itu, sebahagian besar pemerhati tidak mengetahui kesusahan yang dihadapi Vincent selepas membawa Cardiff City bermain dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.
Ditipu ejen dan pengurus pemain bagaikan sudah menjadi lumrah buat Vincent. Ahli keluarga dan sahabat handai cuba menasihati beliau supaya segera meninggalkan dunia bola sepak yang merugikan dan menjejaskan reputasinya sebagai salah seorang ahli perniagaan terbaik di Malaysia.

Namun, keghairahan Vincent terhadap bola sepak adalah antara faktor terbesar mengapa beliau masih boleh bertahan dan akhirnya menikmati kejayaan bersama Cardiff City.

Menurut Vincent, impian untuk membawa nama Malaysia ke pentas dunia membara dalam jiwanya dan menyifatkan bola sepak di pentas EPL adalah saluran yang paling tepat.

“Saya telah mempelajari bola sepak dan pengurusannya. Ahli keluarga dan kawan-kawan menasihatkan saya supaya tinggalkan bola sepak kerana saya telah habis banyak wang gara-gara sukan tersebut.

“Tahun ini merupakan ulang tahun ke-10 sejak Mei 2010 dan sebenarnya ia menjadi tahun yang benar-benar mencabar.

“Sejujurnya saya sendiri tidak menyangka saya akan terjun dalam dunia bola sepak dan memiliki sebuah kelab yang bermain liga di England.

“Saya bersyukur kerana akhirnya ia menjadi realiti. Objektif saya cuma satu iaitu mahu mempromosikan Malaysia kepada dunia. Itulah yang menjadi keutamaan saya.

“Bagaimanapun, ia tidak semudah seperti yang disangka orang. Pada tahun pertama, kami banyak melakukan kesilapan tetapi kami belajar daripada kesilapan itu tahun demi tahun.

“Itu belum lagi bercerita mengenai ejen, malah pengurus sendiri yang menipu kami. Saya kerugian berjuta-juta ringgit tetapi seperti yang saya katakan, kami telah belajar dan berhati-hati sebagaimana Cardiff City boleh berjaya sampai sekarang,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Harian semasa pertemuan di The Taaras Beach Resort & Spa resort (Berjaya) di Pulau Redang baru-baru ini.

Vincent memberitahu, pengalaman pahit manis bersama Cardiff City telah menguatkan semangatnya untuk memastikan kelab yang dimilikinya berada dalam landasan tepat.

Nama Vincent turut tersenarai dalam buku The Billionaire Club karya James Montague yang mengisahkan pemilik kelab bola sepak yang kaya-raya di dunia.

Dalam buku tersebut, Vincent dilaporkan telah berbelanja hampir £140 buat Cardiff City. Selain Cardiff City, Vincent turut membeli kelab Belgium, KV Kortrijk pada 2015 dan kelab Bosnia, FC Sarajevo (2013).

Bagaimanapun, Vincent yang sebelum ini memiliki saham dalam kelab Los Angeles FC, telah menjual FC Sarajevo. Beliau mahu menumpukan perhatian kepada Cardiff City dan KV Kortrijk dengan harapan dapat membantu lebih ramai pemain Malaysia beraksi di pentas Eropah.

“Saya sukakan cabarannya dan saya akan teruskan. Saya telah menjual kelab Sarajevo pada tahun lepas kepada pemilik baharu dari Vietnam. Sekarang fokus saya adalah kepada Cardiff City dan KV Kortrijk.

“Banyak lagi yang harus saya lakukan untuk Cardiff City. Saya masih belum puas walaupun boleh dikatakan kami telah melakar kejayaan tersendiri apabila layak ke EPL pada musim 2013/2014 dan 2018/2019.

“Saya masih ingat lagi detik itu sebelum kejayaan pertama naik ke EPL. Saya dihentam teruk dan tiada siapa percaya atau yakin kami boleh naik ke EPL.

“Namun, kami membuktikan sebaliknya kerana kami percaya dengan keupayaan diri kami sendiri. Bukan sekali tetapi dua kali berjaya bermain dalam saingan liga nombor satu di England.

“Bagaimanapun, saya agak kecewa dua kali kejayaan naik ke EPL tidak boleh bertahan lama apabila kami sekadar bermain semusim sahaja iaitu musim 2013/2014 dan 2018/2019.

“Ia tidak mematahkan semangat saya untuk mencari formula tepat dan benar. Bukan senang untuk kekal bermain dalam EPL, apatah lagi menentang kelab-kelab besar seperti Liverpool, Manchester United atau Arsenal.

“Berbekalkan bajet besar, mereka sudah berada pada tahap itu manakala Cardiff City akan cuba perlahan-lahan untuk bertapak dalam EPL suatu hari nanti,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Vincent mendedahkan, beliau memiliki perancangan dalam usaha memperkasa Cardiff City bersaing dengan kelab-kelab elit di Eropah.

“Apa yang saya harus lakukan adalah menyemak dan menganalisis keseluruhan musim ini sebelum tahu apakah perancangan pada musim baharu.

“Bermacam-macam perkara bermain di fikiran saya tetapi saya akan perhalusi satu per satu, itu sudah pasti. Saya hendak lihat kejayaan lebih besar kelab ini selepas tempoh 10 tahun kerana itulah impian baharu saya,” ujarnya.

Vincent turut mempunyai hubungan baik dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di mana beliau sering menjemput Seri Paduka menyaksikan perlawanan bola sepak di England.

Visit Malaysia agenda utama
Ketika ditanya adakah slogan ‘Visit Malaysia’ akan kekal di depan jersi Cardiff City, beliau pantas memberikan respons menegaskan itulah agenda utamanya sejak membeli Cardiff City.

Malah, Vincent memberitahu, beliau sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak termasuk kerajaan Malaysia untuk menaja Cardiff City. Ahli perniagaan yang berasal dari Johor itu optimis ia mampu memberi manfaat kepada pihak penaja.

“Seperti saya katakan, saya seorang patriotik dan Malaysia sentiasa menjadi keutamaan. Saya sentiasa terbuka dan ingin memberi komitmen kepada kerajaan dalam membantu mempromosikan Malaysia.

“Sepanjang 10 tahun bersama Cardiff, saya dapat sekali tajaan bernilai RM15 juta pada musim 2013/2014. Ketika Datuk Seri Nazri Abdul Aziz menjadi Menteri Pelancongan dan Kebudayaan.

Vincent sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak termasuk kerajaan Malaysia untuk menaja Cardiff City.

“Dari situlah bermulanya ‘Visit Malaysia’. Saya amat berterima kasih kepada beliau dan kerajaan kerana saya mahu mempromosikan Malaysia melalui saluran bola sepak.

“Ya, saya tetap berharap penajaan daripada pihak kerajaan Malaysia atau mana-mana pihak yang berminat. Saya berbesar hati untuk menerimanya pada bila-bila masa.

“Semua orang tahu betapa berharganya jika ada penaja di hadapan jersi kerana itulah tempat paling eskslusif buat mana-mana penaja. Kita harus melihat pulangan dan pulangan paling minimum pengiklanan adalah sebanyak £3 juta. Itulah nilai paling minimum tetapi tidak ramai menyedarinya.

“Semakin besar sesebuah kelab itu, semakin besar pulangan buat penaja. Saya berharap kejayaan itu akan menjadi milik Cardiff suatu hari nanti,” ujarnya.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: