
BEKAS Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Mohamad Noordin Awang kembali ke rahmatullah akibat penyakit barah paru-paru, jam 7.15 malam tadi.
Allahyarham Mohamad Noordin, 69, yang juga merupakan mantan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan menghembus nafas terakhir di kediamannya di Kampung Kota, Kota Bharu.
Menurut anaknya, Mohd Hafizal Mufti Mohamad Noordin, arwah bapanya dikesan menghidap kanser itu setahun lalu namun sejak dua bulan kebelakangan ini penyakitnya mula merosot.
Jenazah bapanya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Panjang, Kampung Kota selepas solat Subuh pagi esok.

Allahyarham menyandang jawatan Setiausaha Agung KAFA bermula pada 2007 sebelum melepaskan jawatan, empat tahun kemudian.
Ketika itu, KAFA di bawah era kepimpinan Presiden, Tan Sri Annuar Musa mencapai zaman kegemilangannya apabila merangkul pelbagai kejayaan termasuk kejuaraan tiga piala pada musim 2012.
Dari segi politik, Allahyarham juga bergiat aktif malah dipilih menjadi Ketua Umno Bahagian Kubang Kerian setelah memenangi jawatan berkenaan pada pemilihan bahagian parti itu, dua tahun lalu.
Add Comment