Bola Sepak

FAS dan K.V Kortrijk capai persetujuan

FAS percaya pendedahan di luar Malaysia adalah apa yang diperlukan Luqman ketika ini untuk maju ke peringkat seterusnya dalam karier profesionalnya

Luqman Hakim bakal menimpa pengalaman dan mencipta nama diluar negara . (Foto : IG Luqmansham10)

IMPIAN perpindahan penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin menimba pengalaman dan mencipta nama diluar negara akhirnya menjadi kenyataan selepas Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan kelab K.V. Kortrijk mencapai persetujuan mengenai perpindahannya.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Selangor FA, Luqman akan terbang ke Belgium untuk bersama dengan kelab tersebut selepas segala dokumentasi telah diproses dan diluluskan.

“Berkenaan situasi Luqman Hakim Shamsudin, kami dengan ini secara rasmi mengesahkan bahawa persetujuan telah dicapai di antara FA Selangor dan K.V. Kortrijk untuk perpindahan Luqman Hakim dari Selangor.

“FAS percaya pendedahan di luar Malaysia adalah apa yang diperlukan Luqman ketika ini untuk maju ke peringkat seterusnya dalam karier profesionalnya,” jelas kenyataan tersebut.

Pada masa sama, FA Selangor memahami betapa pentingnya usaha dalam memupuk bakat muda demi masa depan bola sepak Malaysia.

“Kami sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik dalam membantu meningkatkan karier para pemain ini. Negara kita juga telah menyaksikan kelahiran pelbagai kisah kejayaan yang juga boleh dilihat sebagai bukti komitmen kelab ini yang selari dengan matlamat ini.

“Usaha menggilap potensi yang dimiliki pemain bukan hanya memerlukan latihan fizikal bagi meningkatkan kemahiran dan kemampuan di atas padang. Kami memahami bahawa nilai-nilai murni lain dalam kehidupan juga memainkan peranan penting dalam membentuk kematangan dan watak mereka di luar padang.

“Kami di FA Selangor ingin mengucapkan selamat berjaya kepada Luqman. Kami amat berharap agar langkah ini bukan sahaja memberi manfaat kepadanya sebagai individu, tetapi juga dalam jangka panjang, membantu industri bola sepak tempatan untuk lebih maju. Kami juga berharap langkah ini akan membuka lebih banyak peluang untuk pemain muda tempatan mengembangkan karier di luar negara,” katanya.

Kini berusia 18 tahun, Luqman telah dinobatkan sebagai salah satu bakat terbesar negara oleh Goal Malaysia dalam senarai NxGn 2020. Luqman menjadi penjaring terbanyak kejuaraan AFC U-16 walaupun hanya bermain dua perlawanan dalam pertandingan ini. Luqman turut memainkan peranan penting dalam membantu skuad remaja Malaysia di Kejuaraan Remaja AFF U-19 2019.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d