Bola Sepak Komentar Semasa

luqman – Ayuh ke depan

Luqman perlu menoktahkan segala spekulasi liar melibatkan kariernya dan menjelaskan sebenar apa yang dimahukannya selama ini.

OLEH : MOHD FARIQ

DAYUNG sudah di tangan, perahu sudah di air.

Mungkin tidak keterlaluan untuk mengaitkan peribahasa Melayu itu dengan situasi yang dialami oleh penyerang muda berbakat negara, Luqman Hakim Shamsudin.

Selepas dikaitkan dengan beberapa kelab Eropah, nama anak muda kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini mula menjadi tumpuan lensa media dan penyokong bola sepak tempatan yang teruja menyaksikan Luqman bermain di luar negara.

Persembahan cemerlang Luqman bersama skuad bawah 19 tahun (B-19) tahun lalu antara elemen paling utama mengapa dia berjaya menarik perhatian beberapa kelab dari seluruh dunia.

Nama Luqman terus menjadi sebutan di dada akhbar, televisyen dan laman sosial apabila pemain berusia 18 tahun ini telah dinamakan sebagai salah seorang daripada 60 prospek muda terbaik dunia tahun 2019 termasuk sebaris dengan bintang Barcelona, Ansu Fati.

Bercakap sahaja setanding dengan pemain yang mewakili kelab gergasi dunia, tidak hairanlah jika sebahagian besar penyokong mahukan Luqman mengembangkan kariernya di luar negara khususnya di pentas Eropah.

Bagi penulis, Luqman sebenarnya seorang wira dan bakal menjadi prospek terbaik dalam sejarah bola sepak negara.

Ini kerana penulis masih mengingati ‘kegagahan’ Luqman ketika ditemuramah media di Jepun tahun lalu semasa bermain Piala Sanix berkata: “Cita-cita saya bermain bola ini adalah untuk bermain di luar (negara). Ikutlah di mana pun (kelab) saya akan bermain sahaja.”

Kata orang, kalau takut ombak jangan berumah di tepi pantai.

Justeru penulis percaya anak muda yang sebelum ini pernah dikaitkan dengan Newcastle United dan Bayer Leverkusen, sebenarnya memiliki impian besar untuk melebarkan karier di luar negara.

Masakan tidak, siapa tak berasa bangga untuk melihat anak Malaysia bermain di pentas Eropah?

Penulis dapat beri jaminan bahawa seluruh rakyat Malaysia bukan sahaja berkongsi rasa bangga sebaliknya bersedia membakar semangat Luqman bagi mencipta sejarah bola sepak negara.

Kini peluang itu semuanya berada di tangan anak muda ini yang telah mendapat peluang untuk menyinar bersama kelab Belgium, KV Kortrijk (KVK).

Vincent Tan memberi jaminan Luqman akan dapat menyertai skuad kebangsaan jika dipanggil.

Pemilik KVK, Tan Sri Vincent Tan tanpa berselindung mengakui beliau adalah peminat Luqman dan membayangkan pemain itu memiliki potensi besar untuk menyinar di pentas Eropah.

Bukan itu sahaja, Vincent Tan turut memberikan jaminan bahawa beliau akan memastikan Luqman dapat menyertai pasukan kebangsaan jika namanya terpanggil ke tugasan antarabangsa walaupun bermain bersama KVK.

Penulis berharap Luqman tidak terbeban dengan tekanan sebaliknya seharusnya berasa bangga untuk membawa nama negara di peringkat antarabangsa.

Dalam masa yang sama, penulis berharap Luqman akan membuat keputusan terbaik untuk dirinya kerana penulis percaya dia mampu menjadi ‘pintu’ harapan kepada pemain-pemain lain yang turut memasang hajat untuk bermain di luar negara.

Hasmah (kanan, belakang) mengharapkan impian anaknya yang ingin bermain di Eropah menjadi kenyataan.

Seperti mana juga nasihat ibu Luqman, Hasmah Che Soh yang menghubungi anaknya semalam, dia berharap anaknya dapat mengejar impian sejak dari kecil iaitu dapat bermain di Eropah.

Nasihat penulis, Luqman buatlah satu sidang media khas bagi menoktahkan segala spekulasi liar melibatkan kariernya dan menjelaskan sebenar apa yang dimahukannya selama ini.

Ini kerana kita semua tidak mahu fokus Luqman terganggu daripada mana-mana pihak demi kesejahteraan karier anak muda ini.

**Mohd Farid mempunyai pengalaman 20 tahun sebagai penulis sukan, khususnya bolasepak**

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: