Bola Sepak Semasa

WAN KUZRI SAH PERKUAT B19

Kamarul Ariffin menyifatkan kehadiran Wan Kuzri akan memperkuatkan pasukan.

PEMAIN muda yang beraksi di Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Kamal antara tersenarai dikalangan 35 pemain skuad Bawah 19 Tahun (B-19) kebangsaan yang akan menyertai kem latihan berpusat menjelang Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Uzbekistan, Oktober ini.

Pengurus pasukan B19, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar mengesahkan perkembangan itu dan menjangkakan Wan Kuzri, 18, proses dokumentasi kini berada di fasa terakhir.

“Dia tersenarai dikalangan 35 pemain yang bakal dipanggil menyertai kem latihan berpusat skuad kebangsaan B19 sebagai persiapan Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Uzbekistan, Oktober ini.

“Apabila semuanya selesai kami akan terbangkan dia dari Amerika Syarikat ke Kuala Lumpur untuk bersama rakan sepasukan yang lain.

“Senarai lengkap pemain kini telah dikemaskini dan hanya menunggu pihak Sekateriat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengeluarkannya dalam masa sehari dua.

“Mengenai persiapan pula, tiada masalah cuma kini hanyalah untuk dikemaskini Prosedur Operasi Standard ( SOP ) kerana kami tidak mahu timbulkan masalah kemudian hari.

“Kami mahu apabila berada dalam kem semuannya dalam keadaan yang amat-amat baik,” jelasnya.

Kamarul Ariffin turut memaklumkan, Wan Kuzri ternyata tidak sabar untuk bersama pasukan dan bersedia memperkuatkan B19 bagi menghadapi kejohanan penghujung Oktober nanti.

“Dia amat berminat, tidak timbul soal dua warganegara seperti kita maklum sebelum berusia 21 tahun dia boleh untuk bermain dengan mana-mana negara dan selepas umur tersebut barulah dia boleh membuat pilihan sama ada untuk memilih Malaysia atau Amerika Syarikat.

“Kami memantau secara rapat dan berhubung dengan jurulatih di kelabnya sekarang dan kami amat-amat perlukannya untuk menambahkan kekuatan pasukan,” katanya.

Mengulas mengenai SOP yang bakal dilakukan terhadap semua pemain dan pengurusan, Kamarul Ariffin memaklumkan semua pematuhan sebagaimana disarankan akan dipatuhi.

“Konsepnya buat masa ini dalam fasa terakhir jadi kita tunggu selepas 1 Julai nanti, kita akan ikut SOP yang ditetapkan sebelum ini seperti Road To Tokyo.

“Tetapi mungkin tidak seketat itu selain akan mengikuti SOP dari Majlis Keselamatan Negara (MKN),” ujarnya yang menambah kem latihan berpusat skuad kebangsaan akan diadakan di Wisma FAM, minggu hadapan.

Wan Kuzri yang kini beraksi bersama kelab St Louis FC dalam saingan USL Championship di Amerika Syarikat adalah adik kepada bintang muda Wan Kuzain yang beraksi bersama kelab Liga Bola Sepak Utama (Major League Soccer) Amerika Syarikat, Sporting Kansas City.

Kejuaraan B-19 AFC 2020 menjadi medan kelayakan ke Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) 2021 di Indonesia dan skuad B19 negara menyasarkan muncul pasukan Malaysia pertama layak secara merit beraksi di pentas saingan Piala Dunia itu.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: