
MAJLIS Sukan Negara (MSN) telah mendapat kebenaran daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memulakan semula latihan harian sepenuh masa bagi semua atlet di bawah program Road to Tokyo (RTT), Program Podium dan Program Pelapis Kebangsaan secara berperingkat bermula 5 Julai ini.
KBS dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan sebentar tadi, selepas Kem Latihan Pusat RTT yang bermula dari 1 hingga 30 Jun, dilaksanakan tanpa sebarang masalah besar sekali gus memberi keyakinan buat semua pihak termasuk atlet para kembali meneruskan latihan di MSN.
“Semua latihan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah besar dan ini meyakinkan KBS, MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) untuk membuka ruang kepada semua atlet di bawah program Podium dan Pelapis Kebangsaan dari atlet elit dan atlet para untuk kembali meneruskan latihan di MSN.
“Perdana Menteri juga sudah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 7 Jun lalu yang memberi lebih banyak kelonggaran kepada pelbagai sektor untuk beroperasi termasuk sektor sukan mulai 10 Jun.
“Kelonggaran ini memberikan harapan kepada semua atlet negara yang inginkan latihan sepenuh masa dapat dimulakan seberapa segera bagi memastikan mereka dapat meneruskan program latihan yang sudah dirancangkan sebelum ini.
“Sehubungan dengan ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, sudah bersetuju untuk MSN memulakan semula latihan harian sepenuh masa bagi semua atlet di bawah Program RTT, Program Podium dan Program Pelapis Kebangsaan berperingkat bermula pada 5 Julai nanti dengan mematuhi semua SOP yang ditetapkan MKN dan KKM.
“MSN dan ISN juga akan mematuhi SOP Am Pengurusan bagi memastikan keperluan logistik dan venue latihan serta khidmat sokongan sains dan perubatan sukan bersedia sepenuhnya bagi atlet negara memulakan latihan harian sepenuh masa.
“Seramai 539 atlet dan 142 jurulatih daripada kalangan atlet elit di bawah program RTT, Podium dan Pelapis Kebangsaan akan dipanggil balik untuk menjalani latihan harian secara sepenuh masa di semua pusat latihan ditetapkan iaitu di Kompleks MSN Bukit Jalil, ABM Bukit Kiara, Kompleks Sukan MSN Keramat dan Pusat Pelayaran MSN Langkawi.
“Walaupun pihak kerajaan telah memberi kelonggaran dan ruang yang agak luas kepada semua untuk menjalani latihan dan bergiat aktif semula dalam bidang sukan dan rekreasi, namun pihak kementerian ingin mengingatkan dan menegaskan semua pihak terutama barisan jurulatih, atlet dan pegawai sukan untuk terus mematuhi SOP ditetapkan dan sentiasa menjaga keselamatan diri bagi mengelakkan jangkitan virus COVID-19,” ujar kenyataan tersebut.
Seramai 135 atlet para dan 31 jurulatih daripada program RTT serta Podium diminta melaporkan diri ke Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan pada 5 Julai ini untuk memulakan latihan sepenuh masa.
Add Comment