Uncategorized

KAFA mohon bantuan kerajaan negeri


Afandi (dua,kiri) menyerahkan surat permohonan kepada Wan Roslan pada pertemuan kedua-dua pihak itu di Kota Bharu, hari ini.

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengadakan pertemuan bersama wakil pimpinan kerajaan negeri hari ini dalam usaha untuk mencari jalan meringankan beban susulan krisis kewangan yang membelenggu mereka, ketika ini.

Pada perjumpaan tersebut, KAFA diwakili Timbalan Presidennya, Datuk Seri Afandi Hamzah bersama tiga exco manakala kerajaan negeri diwakili Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, Wan Roslan Wan Hamat.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak KAFA, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, pelbagai usaha telah dilakukan dengan terbaharu pihaknya mengadakan pertemuan dengan pucuk pimpinan tertinggi kerajaan negeri.

“Alhamdulillah, hari ini barisan kepimpinan KAFA yang diketuai oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Afandi Hamzah telah mengadakan kunjungan hormat keatas pucuk pimpinan bagi memohon bantuan dari segi kewangan dalam usaha meredakan sedikit tekanan dalam menyelesaikan isu hutang.

“Selain aspek kewangan, pertemuan itu juga turut membincangkan soal bantuan-bantuan lain yang boleh dihulurkan oleh kerajaan negeri kepada KAFA,” katanya dipetik menerusi kenyataan di laman rasmi Kelantan FA, sebentar tadi.

Ahmad Muzakkir berkata, setakat ini KAFA telah berjaya mengumpul kutipan derma berjumlah RM15,000 hasil sumbangan penyokong dan orang ramai secara dalam talian.

Katanya, beliau mewakili seluruh pucuk pimpinan KAFA menzahirkan rasa terima kasih kepada ‘perwira-12’ Team Red Warriors (TRW) yang telah membantu pasukan.

Bulan lalu, KAFA diarahkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menyelesaikan tunggakan gaji bekas pemain importnya, Casio de Jesus berjumlah RM629,620.28, selewat-lewatnya 23 Mei.

Bagaimanapun, KAFA yang mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung arahan tersebut mendapat ‘talian hayat’ kedua apabila diberi tambahan tempoh dua minggu bagi melengkapkan dokumen berhubung rayuan pemain pertahanan kelahiran Brazil itu.

Begitupun, KAFA sekali lagi dihimpit tekanan apabila terbaharu diarahkan melunaskan tunggakan gaji seorang lagi bekas pemain import mereka, Bruno Lopes berjumlah RM142,000 dalam tempoh 45 hari.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading