
Oleh MOHD. FARIQ
(Penulis sukan bolasepak lebih 20 tahun)
MENTERI Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) boleh mengemukakan permohonan semula untuk menyambung Liga Malaysia (Liga M) selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Jelas Ismail Sabri, pihaknya akan menilai kembali permohonan FAM dan MFL untuk mempercepatkan proses penyambungan Liga-M sama ada sesuai atau sebaliknya sebaik PKPB tamat.
Ini kerana Ismail Sabri yang sedia maklum bahawa beberapa liga di Eropah telah kembali bersambung bermain, menegaskan Kerajaan Malaysia sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sebelum memuktamadkan sebarang keputusan berkaitan aksi domestik.
“Buat masa ini, PKPB ini tamat pada 9 Jun depan dan sama ada (PKPB) bersambung atau sebaliknya, kita tunggu dan lihat sahaja.
“Kita tidak perlu ikut (cara) Eropah sebagai dalam isu ini kerana bukan semua cara mereka adalah berkesan ketika menangani virus Corona.
“Jadi fokus utama kami adalah kepada rakyat Malaysia. Nasihat saya kepada FAM dan MFL, mereka boleh membuat permohonan semula untuk mempercepatkan liga selepas tamat tempoh PKPB dan permohonan itu akan dinilai semula.
”Sudah pasti kita akan lakukan semua aspek Prosedur Operasi Standard (SOP) di mana umum mengetahui bola sepak adalah ‘sports contact’.
“Itu sahaja isunya dan bukannya kami tidak mahu awalkan Liga-M. Sedangkan bersalaman pun kita tidak bagi sekarang tetapi seperti saya katakan tadi, FAM dan MFL boleh buat permohonan semula selepas tamat PKPB nanti,” katanya.

Cakap Sukan semalam melaporkan syarikat barangan sukan terkenal tempatan, Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd berharap Kerajaan Malaysia dapat memberikan kebenaran kepada MFL untuk menyambung kembali aksi domestik pada awal bulan depan.
Al-Ikhsan menerusi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Al-Ikhsan, Vach Piluttla optimis bahawa MFL dapat memberikan jaminan di mana setiap perlawanan Liga-M diadakan tanpa penyokong dan mengikuti SOP yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Sebelum ini, MFL telah memohon kebenaran untuk menyambung Liga-M pada September selepas permohonan untuk memulakan kempen domestik pada Julai atau Ogos telah ditolak oleh Jawatankuasa MKN pada April lalu.
Add Comment