
NAMPAKNYA sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini disambut ‘kelam’ pasukan dari utara yang beraksi dalam saingan Liga Premier 2020 susulan tunggakan gaji sejak April lalu.
Apatah lagi dengan virus pandemik Covid-19 yang menyerang negara ini, memaksa perjalanan Liga Malaysia tergantung sementara sehingga ke tarikh baharu.
Sukar untuk mempercayai tetapi inilah hakikat yang perlu ditelan pemain serta barisan kejurulatihan skuad berkenaan dalam menyambut Syawal kali ini.
Menurut sumber, memang benar berlaku tunggakan gaji kepada pasukan dari utara dan ia amat mengecewakan.
“Sebenarnya ada isu gaji tertunggak. Kami tak dapat gaji sejak April dan Mei 2020.
“Pemain susah hati apabila dijanjikan duit gaji akan masuk seminggu sebelum raya iaitu pada minggu lepas lagi.
“Saya kesalkan kerana sepatutnya, dana yang diterima daripada pihak kerajaan negeri adalah untuk bayar gaji sebelum raya.
“Namun, ia terus senyap hingga lani (hari ini),” katanya ketika dihubungi Cakap Sukan sebentar tadi.
Jelas sumber itu lagi, pemain cukup terkesan kerana bola sepak merupakan sumber pendapatan utama ketika ini.
“Memang ada kesan. Janji nak bagi masa sebelum raya. Kita faham isu Covid-19 yang berlaku tapi sekurang-kurangnya prihatinlah kat budak-budak (pemain). Orang kata, bagi ada duit kat tangan, ini apa pun tak dak,” ujarnya lagi.
Sumber itu mendakwa, ada pemain yang terpaksa bergadai bagi mencari wang kerana kalangan mereka telah berkeluarga dan ada tanggungan.
Katanya lagi, jika pemain tempatan membawa isu ini dan disiarkan ke media ‘voice’ (suara) mereka tidak kuat dan silap haribulan akan disenaraihitamkan oleh pihak pengurusan pula.
“Seperti saya cakap tadi, patut persatuan salurlah gaji seperti dijanjikan. Jangan diam seribu bahasa,” tegasnya.
Sebelum ini beberapa pasukan Liga Malaysia berdepan masalah tunggakan gaji, antaranya Kedah, Melaka United dan Kelantan.
Add Comment