Uncategorized

Al-Ikhsan Sport saran kerajaan benarkan MFL sambung liga awal bulan depan

Oleh MOHD. FARIQ

SYARIKAT barangan sukan terkenal tempatan, Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd menyarankan kepada Kerajaan Malaysia agar memberikan kebenaran kepada Malaysian Football League (MFL) untuk menyambung kembali aksi domestik pada awal bulan depan.

Apa yang pasti, Al-Ikhsan optimis bahawa MFL dapat memberikan jaminan di mana setiap perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) diadakan tanpa penyokong dan mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diarahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Itulah yang diakui oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Al-Ikhsan, Vach Piluttla yang turut memberitahu, Liga-M bukan sahaja bersandarkan kepada sukan semata-mata sebaliknya ia turut terlibat langsung dengan perniagaan global.

Kata Vach, statistik pesakit pandemik COVID-19 di Malaysia tidak sebimbang seperti di negara-negara barat yang telah pun kembali membuka liga domestik masing-masing, antara salah satu faktor kenapa Kerajaan Malaysia harus memberikan kebenaran kepada MFL untuk menyambung kembali Liga-M pada awal bulan depan.

Justeru, Vach berharap rakan-rakan penaja termasuk Al-Ikhsan yang telah melabur RM11 juta sejak membuat penampilan pertama di Liga-M pada 2015, dapat menanti sinar jika Kerajaan Malaysia memberikan kebenaran kepada MFL untuk menyambung kembali saingan domestik dalam tempoh terdekat.

“Sebagai salah satu penaja lama dalam Liga-M, Al-Ikhsan menyeru kepada Kerajaan Malaysia agar dapat memberikan kebenaran untuk membuka kembali Liga-M tanpa penonton pada awal bulan depan.

“Kami fikir ia tidak akan berlaku sebarang isu jika semua dapat mengikuti SOP seperti yang disarankan oleh KKM.

“Jika kita dapat lihat, Bundesliga sudah memulakan kempen tanpa penyokong dan kemudiannya disusuli Liga Perdana England dan LaLiga yang dijangka menyambung kembali aksi domestik mereka pada bulan depan.

“Jika dibandingkan statistik COVID-19 dengan negara-negara ini, Malaysia jauh lebih bagus dan kami berpendapat Liga-M tidak berdepan masalah untuk kembali bermain pada bulan depan.

“Apa yang pasti semua pihak terlibat iaitu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), MFL, persatuan negeri dan kelab serta penaja harus bersatu hati untuk mencapai satu keputusan kemudian barulah menghantar permohonan kepada KKM yang akan membuat keputusan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Dalam perkembangan sama, Vach menegaskan pandemik COVID-19 telah memberikan impak semua pihak termasuk rakan-rakan penaja dalam Liga-M.

Bagaimanapun, Vash yakin Kerajaan Malaysia dapat membantu penaja-penaja Liga-M seperti Al-Ikhsan yang telah melabur RM4 juta untuk Pahang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Terengganu FC dan Melaka pada musim ini, dengan membuka saingan domestik lebih awal dan bukannya pada bulan September seperti yang disarankan pihak berkuasa sebelum ini.

“Benar, pandemik COVID-19 telah menjadi satu impak kepada semua pihak dan disebabkan virus ini juga kami tidak memiliki perniagaan selama 48 hari berturut-turut.

“Namun sekurang-kurangnya membenarkan Liga-M kembali bersambung pada Jun dan bukannya pada September sedikit sebanyak dapat membantu.

“Ini kerana ia getir buat kesemua pasukan yang telah hilang mata pencarian selepas Liga-M ditutup dalam tempoh agak panjang.

“Ayuh kita bina kembali atmosfera bola sepak tempatan. Penyokong-penyokong sendiri mahu liga kembali berjalan tanpa penyokong dan buat masa ini, ini adalah langkah terbaik kepada semua pihak,” ujarnya.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: