
LAJNAH Kebudayaan, Kesenian dan Sukan (LESTARI) PAS Kedah mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor di atas keprihatinan dan komitmennya membantu mengatasi masalah yang dihadapi oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).
Pengerusinya, Muhammad Radhi Mat Din berkata, pihak LESTARI dan bersama DACS negeri ini memberi sepenuh kepercayaan terhadap beliau dan yakin kemelut yang melanda KFA dapat diatasi segera.
“Kita juga berbangga apabila KFA menjadi salah satu agenda utama Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah walaupun persatuan itu bukan agensi kerajaan.
“Tidak dapat disangkal, bola sepak adalah antara sukan nombor satu bagi rakyat Negeri Kedah dan ia membantu menyatukan pelbagai lapisan masyarakat dari tanpa mengira fahaman politik, usia, kaum dan agama,” katanya menerusi kenyataan media.
Muhammad Radhi yang merupakan kapten skuad Kedah FA era 90-an mengimbas kembali detik kegemilangan pasukan itu menjadi ‘Double Treble’ semasa pemerintahan Al-Marhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak yang ketika itu beliau juga merupakan Presiden KFA.
“Semoga kepimpinan kerajaan PN Kedah sekarang dapat mengembalikan kegemilangan itu dan membawa KFA ke tahap lebih baik dari sekarang.
“Justeru itu, LESTARI juga mengharapkan agar Dato’ Seri Mukhriz Mahathir dapat melepaskan jawatan sebagai presiden persatuan itu supaya kelangsungan komiten kerajaan yang baharu ini dapat direalisasikan dengan lebih mudah dan lancar,” ujarnya
Sehubungan itu, LESTARI berkeyakinan penuh, Kedah di bawah kepimpinan Menteri Besar yang baharu akan memberi sokongan yang padu untuk memastikan membawa Pasukan Bola Sepak Negeri Jelapang Padi ke mercu kejayaan.
Add Comment