Uncategorized

Alasan KHM tak munasabah !

PEMILIK Hockademy mengganggap alasan yang diberikan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM yang menekankan faktor penularan pandemik Covid-19 menjadi antara punca kelewatan pembayaran hadiah kemenangan TNB Liga Hoki Malaysia (TNBMHL) 2020 sebagai tidak munasabah.

Semalam, sebuah akhbar tempatan melaporkan maklumbalas KHM melalui Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM dalam laporan mereka yang bertajuk “MHC tak sengaja”.

“Saya sebagai pemilik Hockademy
berterima kasih kerana pada akhirnya badan induk negara itu tampil menjawab dan memberi reaksi selepas gagal berbuat demikian sebelum ini,” kata Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dalam satu kenyataan media hari ini.

Jelas beliau yang juga Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA), perkara ini telah menjurus kepada beberapa faktor.

“Pertamanya adalah kerana saingan TNBMHL 2020 telahpun melabuhkan tirainya pada 22 Februari 2020 di mana KHM mempunyai tempoh masa kira-kira sebulan untuk menyelesaikan urusan tersebut sebelum perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dijalankan pada 18 Mac lalu.

“Keduanya, sebagai pengelola saingan Liga Hoki Malaysia seharusnya KHM telah
merangka daripada awal sistem pembayaran hadiah kemenangan TNBMHL 2020 tanpa mengakibatkan semua pasukan khususnya para pemain hoki tempatan perlu menunggu sekian lama imbuhan kemenangan mereka.

“Sepatutnya ia tidak menjadi isu kerana kebiasaannya pihak penaja pastinya memberikan wang penajaan lebih awal daripada sebelum berakhirnya liga,” katanya lagi.

Selain itu katanya, pihak Hockademy juga ingin mempersoalkan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM yang
menjelaskan Presiden KHM telahpun menemui wakil TNB (penaja utama) untuk
menyelesaikan perkara ini dalam masa terdekat.

“Secara tidak langsung ia memberi
gambaran bahawa pihak Tenaga Nasional berhad (TNB) selaku penaja utama telah
menangguhkan pemberian wang penajaan.

“Sehubungan dengan itu, pihak Hockademy berharap supaya KHM dapat
menambahbaik dan memastikan situasi ini tidak lagi berulang di masa depan dalam
menjaga kebajikan pemain khususnya buat pemain hoki tempatan yang bukan
bertaraf pemain negara kerana mereka ini menjadi kelompok yang paling terkesan
dengan kelewatan bayaran hadiah kemenangan ini,” ujarnya.

Beliau juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya
Aidilfitri kepada pihak kepimpinan tertinggi Konfederasi Hoki Malaysia dan seluruh warga hoki Malaysia.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: