
KELANTAN United Football Club (KUFC) menafikan satu laporan berita tengahari tadi menyatakan mereka mahu saingan Liga Malaysia 2020 dibatalkan susulan wabak pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini.
Menurut Setiausaha Eksekutifnya, Wan Mohd Zul Ikman, pihaknya berasa dukacita dengan laporan tersebut yang disifatkan akan mendatangkan kesan negatif kepada Kelantan United Football Club.
“Kami tidak pernah mengeluarkan kenyataan demikian dan kami sendiri hairan dari mana mereka mendapat sumber berita itu,” katanya dalam kenyataan media.
Jelasnya lagi, pihak kelab sentiasa mendapat garis panduan dan maklumat semasa dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta Malaysian Football League (MFL) selaku badan penganjur Liga Malaysia.
“Dilaporkan badan induk itu akan bermesyuarat minggu ini untuk menentukan kedudukan liga, jadi kita akan mengikut segala keputusan dari FAM dan MFL serta kerajaan jika ia diputuskan nanti,” ujarnya.

Justeru itu, Wan Mohd Zul Ikman berharap pihak media massa di Malaysia lebih bertanggungjawab dengan laporan mereka dengan mendapatkan maklumat sahih tentang kelab melalui pegawai pasukan yang dilantik.
“Media mesti memainkan peranan mereka dengan menyalurkan berita sebenar tanpa memetik dari sumber tidak sah kerana ia bukan sahaja memberikan maklumat salah malah turut membawa implikasi buruk kepada kelab secara keseluruhan,” katanya.
Add Comment