
Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menyambut baik Azhan Shafriman Hanif sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya yang baharu berkuatkuasa hari ini setelah Datuk Razlan Razali menamatkan tugasan terakhir, semalam.
Azhan Shafriman menggantikan Razlan yang telah diberi tanggungjawab penuh sebagai prinsipal Pasukan Perlumbaan Petronas Sepang.
SIC dalam kenyataan hari ini berkata, pelantikan Azhan Shafriman yang merupakan jurutera mekanikal terlatih, pengkhususan dalam bidang pembuatan dan sains bahan, mengucapkan terima kasih kepada pengurusan SIC bagi peranan baharunya itu dan beliau percaya beliau mampu membawa nama SIC ke tahap lebih cemerlang.
“Dengan dunia sedang berdepan cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini disebabkan oleh pandemik COVID-19, mempunyai asas kukuh dalam pengkomersilan permotoran akan menjadi titik permulaan baik bagi khidmat saya dengan SIC, tatkala saya mendapatkan aspek dan pengetahuan lebih baik tentang operasinya.
“Namun, dengan peranan saya sebelum ini di Petronas, saya berpeluang memberikan maklum balas kepada SIC mengenai fasiliti dan kemudahan sekali gus menawarkan satu lagi asas penting untuk saya di SIC tatkala saya menyesuaikan diri dalam menjalankan peranan sebagai CEO,” kata Azhan Shafriman yang merupakan Bekas Ketua Perikatan Strategik, Jabatan Penjenamaan Petronas.
Berpengalaman 13 tahun dalam peranannya sebelum ini, Azhan Shafriman berkata, beliau berhasrat untuk bekerja dengan pasukan bagi menangani kelemahan perniagaan untuk jangka pendek, merancang strategi untuk masa depan di tengah-tengah keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.
Untuk jangka sederhana, objektif utamanya adalah untuk memberi tumpuan terhadap kecemerlangan operasi, kawalan tadbir urus dan proses, dengan usaha berterusan dan perkongsian baharu menjadi tumpuan untuk jangka panjang.
Sementara itu, Pengerusi SIC, Tan Sri Azman Yahya dalam kenyataan yang sama menzahirkan keyakinan bahawa Azhan Shafriman akan memimpin pasukan dengan jayanya dalam membawa SIC ke tahap lebih cemerlang, dengan bersandarkan pada pencapaian sebelum ini.
“Shafriman adalah individu yang mempunyai kemampuan dan semangat waja, dan arif dengan dunia permotoran. Kami akan menggunakan asas yang diletakkan oleh Datuk Razlan Razali semasa memegang jawatan sebagai CEO untuk membangunkan lagi litar ke tahap lebih tinggi.
“Dalam tempoh lebih 11 tahun, Datuk Razlan telah memberikan impak besar ke atas litar menerusi semangat tinggi dan jitu terhadap sukan permotoran dan berdedikasi untuk sentiasa melakukan lebih baik lagi. Kami amat menghargai sumbangannya, ” kata Azman.
Sebagai CEO baharu SIC, Azhan Shafriman akan menyelia pelaksanaan Pelan Induk SIC yang diaktifkan pada 2014, bertujuan untuk menjadikan litar itu sebagai hab sukan utama dan edutainment di Asia – fasiliti yang menawarkan pelbagai kemudahan yang telah menarik kunjungan berulang sepanjang tahun.
Add Comment