Uncategorized

Covid-19 : Liga Perdana Belarus tetap dan sedang berlangsung !

MARCO NEGERI

Walaupun rata-rata kejohanan bola sepak di dunia telah menggantung but masing-masing, terdapat satu liga di Eropah yang muncul sebagai “the last football league standing” kerana memilih untuk meneruskan musim bola sepak mereka walaupun dunia sedang dilanda penularan wabak Covid-19.

Soalnya, mengapa ia dibenarkan berlaku, dan bagaimana keputusan ini dibuat?

Belarus Premier League atau nama rasminya, Vysheyshaya Liga merupakan satu-satunya liga bolasepak yang masih diteruskan di Eropah, walaupun pandemik Covid-19 telah melumpuhkan semua kegiatan sukan disana.

Selain Belarus, Nicaragua, Burundi dan Tajikistan turut mengambil risiko dengan meneruskan liga bola sepak di negara masing-masing.

Tidak pernah dipedulikan sebelum ini, peminat bola sepak seluruh dunia kini memberikan tumpuan terhadap Belarus, khususnya mereka yang dahagakan aksi perlawanan secara langsung.

Hasil daripada minat yang naik secara mendadak ini, Persekutuan Bolasepak Belarus (Belarus Football Federation) yang mengelolakan kejohanan liga tersebut berjaya menandatangani perjanjian penyiaran (broadcast deals) di lebih 10 negara seperti Rusia, India, Israel dan Bulgaria.

Walaupun reputasinya tidak gah seperti Liga Perdana Inggeris atau La Liga Sepanyol, Liga Belarus tidak kurang dari memiliki bakat-bakat terbaik dunia seperti Artem Milevskiy, pemain antarabangsa Ukraine yang pernah beraksi di Piala Dunia 2006.

Kini berusia 35 tahun, persembahan beliau disifatkan masih memukau oleh penyokong-penyokong kelab Dynamo Brest.

Liga Belarus terlalu jauh dari capaian radar peminat di Malaysia. Namun penyokong Arsenal mungkin pernah mendengar tentang kelab Bate Borisov, kelab paling berjaya di Belarus dan telah beraksi di beberapa edisi UEFA Champions League serta Europa League.

Antara pencapaian terbaik kelab ini di Eropah termasuklah menumpaskan Arsenal 1-0 di pertandingan Europa League pada Februari 2019.

Akhyar pernah dikaitkan dengan BATE Borisov

Apa yang lebih menarik, pemain Johor Darul Ta’zim, Akhyar Rashid pernah dikaitkan dengan perpindahan ke kelab ini pada bulan Mei 2019.

Menurut laman Facebook Football Agent – Malaysia, BATE Borisov berhasrat untuk menawarkan trial kepada Akhyar Rashid dan sekiranya berjaya, beliau akan ditandatangani oleh BATE secara pinjaman.

Walau bagaimanapun, tiada apa-apa berita yang menyusul sejurus selepas itu.

Tinjauan di media sosial juga mendapati demam Liga Belarus turut melanda peminat-peminat dari serata dunia, termasuk di UK dan Australia sehingga tertubuhnya kelab-kelab penyokong pasukan-pasukan Belarus di sana.

Peminat-peminat di Australia juga melahirkan harapan agar rantaian hubungan ini tidak bersifat sementara dan terputus pasca Covid-19. Sebaliknya, minat dan sokongan tersebut perlu dikekalkan dan diteruskan.

Keputusan untuk tidak melakukan “lockdown” terhadap bola sepak di Belarus mungkin memberi kelegaan buat peminat di seluruh dunia tetapi tindakan Persekutuan Bolasepak Belarus (BFF) untuk meneruskan musim bolasepak mereka mendapat banyak kecaman, termasuk dari pemain mereka sendiri.

Mengapa penganjur berdegil ?

Soalnya, mengapa penganjur terus berdegil dan seolah tidak mengambil endah akan perkara ini?

Belarus merupakan bekas negara Soviet yang kini dipimpin oleh Presiden Alexander Lukashenko. Walaupun Belarus turut dilanda wabak tersebut, beliau hanya menggelarnya umpama “psychosis” atau khayalan dan mencadangkan rakyat Belarus supaya mandi di sauna dan minum 100ml vodka untuk kekal sihat.

Pimpinan BFF sendiri menegaskan bahawa tidak ada kelab yang membantah keputusan yang telah dibuat.

Menurut Aleksander Aleinik, jurucakapnya:

“Setiap kelab/pemain mempunyai pendapat masing-masing, namun pada hujung minggu lalu, kami tidak menerima laporan atau kes melibatkan pemain yang tidak mahu beraksi atau meninggalkan kelab.”

Di kalangan penyokong sendiri, wujud pelbagai sentimen dan pendapat untuk mereka hadir ke stadium atau sebaliknya.

Perlawanan hujung minggu lalu dijalankan seperti biasa, namun penonton hanya diminta untuk membasuh tangan, tidak batuk ke rakan sebelah dan menjarakkan diri sedikit di stadium.

Keputusan berani ini telah menimbulkan perdebatan di kalangan pengamal dan pemerhati bolasepak; sampai bilakah liga ini hendak diteruskan?

Dalam keghairahan pihak tertentu mengejar keuntungan dan mengambil kesempatan terhadap populariti liga tersebut yang telah meningkat, nyawa pemain-pemain bolasepak bukanlah komoditi yang boleh diperdagangkan. Ia juga perlu diberikan perlindungan.

Penyerang FC Minsk, Ognjen Rolovic mempunyai seorang anak berusia 11 bulan yang tinggal bersama ibunya di Montenegro. Rolovic sudahpun menyuarakan kebimbangannya terhadap Covid-19 dan situasi di Belarus.

Pastinya beliau mahu pulang ke pangkuan keluarganya di Montenegro, terutamanya apabila anak tersebut masih memerlukan perhatian dan kasih sayang dari ayahnya.

Mendengar rintihan dari pemain seperti Rolovic, kesatuan pemain bolasepak dunia, FIFPro, memandang serius terhadap situasi di Belarus.

Menurut Setiausaha Agungnya, Jonas Baer-Hoffmann: “Sukar untuk difahamkan apa yang cuba dilakukan mereka di Belarus. Kami juga telah dihubungi oleh pemain-pemain disana yang menyuarakan kebimbangan mereka.”

Menilai apa yang berlaku di Belarus, menerusi keresahan pemain-pemain serta keangkuhan pimpinan bola sepak mereka, ianya boleh dijadikan iktibar buat Malaysia. Sedalam mana sekalipun keterujaan kita terhadap bolasepak, harus diingat, fanatisme juga mempunyai batasnya.

Sehingga liga ini dihentikan, kita di Malaysia berpeluang mengenali dan mengikuti perkembangannya.

Apapun, diharapkan pihak Malaysian Football League (MFL) dan kelab-kelab bola sepak di Malaysia akan lebih bersedia dan bersikap rasional dalam merencana serta melaksanakan tindakan-tindakan susulan selepas tamatnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: