Uncategorized

Bincang bersama cari penyelesaian

TIADA kaedah sempurna daripada sudut perundangan untuk menangani cadangan gaji pemain dipotong atau ditunda sepanjang tempoh Liga Malaysia digantung gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan wabak COVID-19.

Sebaliknya, pakar perundangan sukan, Richard Wee, mencadangkan agar pihak majikan dan pemain berbincang mencari penyelesaian bersama jika pasukan berdepan masalah membayar gaji sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Daripada satu sudut, pemain mungkin bimbang kelab mencari alasan untuk tidak membayar gaji penuh dan mencetuskan satu permulaan yang merisaukan.

“Daripada sudut yang lain, situasi yang tidak pernah dilalui menuntut langkah-langkah yang berlainan. Kita mungkin bercadang menjamu selera di tempat kegemaran kita tetapi jika berdepan ribut taufan, kita harus mencari kaedah lain,” kata Richard yang juga pengasas bersama Persatuan Undang-Undang Sukan Malaysia (SLAM).

Bekas Setiausaha Majlis Peguam Malaysia itu turut menyatakan persetujuan dengan gesaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) agar pasukan dan pemain berbincang secara terbuka untuk menangani isu gaji itu.

“Kelab dan pemain dinasihatkan agar menghormati kontrak masing-masing. Bagaimanapun, identiti dan ciri-ciri serta butiran kontrak membawa maksud semusim yang lengkap. Jika musim itu tidak dapat dilengkapkan, kelab mungkin tidak dapat menjana pendapatan untuk kelangsungan mereka.

“Seandainya kelab mahu membuat pengubahsuaian atau menggantung kontrak itu, mereka wajar bersikap telus. Tunjukkan kedudukan kewangan kelab kepada pemain.

“Ketengahkan statistik dan data yang berkaitan untuk memberi maklumat yang tepat mengenai tahap kelangsungan kelab. Sediakan satu kaedah pembayaran yang sesuai mengikut opsyen tarikh berbeza jika liga ditangguhkan satu bulan, tiga bulan atau enam bulan.

“Biarpada pemain sedar dan maklum masalah yang dihadapi dan seterusnya mengambil langkah-langkah yang mereka fikir wajar.

“Pada pendapat saya, sekalipun ada sudut perundangan bagi menyelesaikan masalah gara-gara COVID-19 ini, adalah lebih praktikal untuk memilih solusi yang mencerminkan kerjasama dua pihak,” katanya.

Richard turut memahami pendirian PFAM bagi melindungi hak pemain tetapi beliau menggesa solusi yang praktikal dan wajar bagi menangani isu berkenaan.

“Saya faham dan menghormati pendirian PFAM dalam menyatakan keengganan berunding isu gaji pemain. Mandat yang diberi kepada mereka memang bertujuan melindungi pemain dan mereka melaksanakan tugas itu dengan baik.

“Namun saya fikir adalah lebih praktikal untuk menjalin kerjasama dan persefahaman dengan kelab bagi merangka satu pelan hala tuju ke arah penyelesaian bersama,” ujarnya.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: