
Ketua Jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah pantas mengingatkan barisan pemain agar tidak terbuai dengan kemenangan selepas pasukannya menewaskan Kelantan United FC 2-0 dalam aksi Liga Premier di Kota Bharu, malam semalam.
Yusri berkata, anak buahnya tidak boleh bermegah dengan kemenangan tersebut memandangkan pasukannya akan berdepan cabaran lebih besar pada aksi liga akan datang.
“Kita tahu bukan mudah untuk beraksi sesama pasukan setempat, (malah) sebenarnya kita tak boleh lihat pasukan mana lebih kuat. Jadi, saya harap pemain tidak dibuai dengan kemenangan ini, fokus seterusnya bertemu Terengganu FC II nanti.
“Apapun, keputusan yang dicapai ini sedikit sebanyak melegakan kerana pertama kita kekurangan satu perlawanan dan kemenangan pertama dilaman sendiri ini hadir tepat pada masanya,” katanya dalam sidang media pasca perlawanan.
Pada pertemuan yang dianggap Local Derby oleh penyokong tempatan, Kelantan membuktikan reputasi unggul apabila mengecewakan Kelantan United FC 2-0 hasil gol Lazarus Kiambi (m-34) dan Felix Chidi Odili (m-83).
Di sebalik kejayaan tersebut, Yusri bagaimanapun mengakui dia percaya pasukannya mampu menang lebih daripada dua gol sekiranya pemain tenang ketika menyempurnakan peluang di depan pintu gol lawan.
“Setuju (menang lebih dua gol) tapi kita masih dihantui (masalah) dengan peluang terhidang, bagi saya mungkin (faktor) ketenangan diperlukan kerana saya lihat ada tiga peluang (terbuka menjaringkan gol),” jelasnya.
Malah pengendali berasal dari Perlis itu memberitahu, dia tidak menduga dua jaringan sumbangan Kiambi dan Odili ketika kedua-dua pemain itu mungkin berada pada posisi sukar untuk menjaringkan gol.
“Selalunya perkara yang mudah (akan menjadi) sukar bagi seseorang pemain.
“Jika lihat dua gol itu, bola yang kita rasa sukar untuk jaringkan tapi terkejut dengan jaringan dilakukan,” jelasnya lagi.
Add Comment