
Ketumpulan jentera serangan mengecewakan pengendali Kelantan United FC susulan kekalahan 0-2 kepada Kelantan pada kempen Liga Premier di Kota Bharu, malam tadi.
Itu yang dijelaskan Zahasmi Ismail selepas kecewa melihat anak buahnya gagal mencipta peluang dalam pertemuan Local Derby dua pasukan dari negeri yang sama.
Malah kegagalan jentera penggempur mereka memanfaatkan peluang terhidang mengulangi skrip sama biarpun pasukannya menang dalam aksi terdahulu.
“Masalah kita sekarang sama seperti dengan (ketika bertemu) Kuching FA, baru-baru ini. Sentuhan terakhir pemain kita bermasalah.
“Walaupun babak kedua kita kuasai perlawanan namun tapi penyudah tetap bermasalah. Jadi Kelantan guna serangan balas pantas, mereka boleh jaring gol, rezeki, nasib bagi mereka, ” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Ia merupakan kekalahan pertama skuad The Green Deers selepas mengharungi tiga aksi Liga Premier. Sebelum ini mereka menang 1-0 ke atas Perak II dan menewaskan Kuching FA 2-1.
Jelas jurulatih berusia 53 tahun itu, kekalahan pasukannya turut dipengaruhi faktor kepenatan selain kesilapan sendiri yang dilakukan pemainnya.
“Mungkin satu faktor tewas adalah kesalahan sendiri yang membawa padah. Dalam babak pertama, kita terlalu menghormati pasukan abang (Kelantan), nak buat sesuatu pun teragak-agak.
“Satu lagi saya rasa kepenatan. Kita beraksi tiga perlawanan berturut-turut, Kelantan kurang satu perlawanan. Mereka lebih tenaga, (tapi) kita main dengan Kuching pun dah 100 peratus tapi kita terima keputusan ini dengan hati terbuka,” ujarnya.
Add Comment