Bola Sepak

Kelab berstatus tinggi jadi pengganti

KELAB dari Emiriah Arab Bersatu yang berstatus tinggi bakal dijadikan sebagai aksi persahabatan pemanas badan buat Harimau Malaya sebelum bertemu pasukan kebangsaan UAE dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, pada 26 Mac ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata , perkembangan terbaharu itu dimaklumkan selepas Persatuan Bola Sepak Bahrain (BFA), membatalkan aksi persahabatan ‘Tier 1’ melibatkan kedua-dua negara berkenaan berikutan wabak COVID-19, dua hari lepas.

“Berkemungkinan besar kita akan bertolak awal ke UAE dan mengadakan perlawanan persahabatan dengan sebuah kelab berstatus tinggi di sana.

“Agak sukar untuk mendapat pasukan lain kerana mereka mempunyai perancangan masing-masing, di tambah pula dengan wabak COVID-19. Sekiranya ada pasukan bersetuju, kita akan bermain dengan pasukan itu tetapi sehingga pagi ini, belum ada lagi,” katanya pada satu sesi perjumpaan dengan media di sini, hari ini.

Aksi persahabatan itu dijadual berlangsung di Stadium Khalifa Sports City, Isa Town, pada 21 Mac ini, namun kerajaan Bahrain mengetatkan perjalanan keluar dan masuk ke negara itu, yang turut melibatkan individu dari negara berdekatan atau berhampiran, dengan jangkitan COVID-19, termasuk Malaysia, Singapura, Thailand, Korea Selatan dan Iran.

Selepas aksi di Dubai itu, skuad kendalian Tan Cheng Hoe dijadual bertemu Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, selang lima hari kemudian (31 Mac), sebelum menamatkan kempen Kumpulan G menentang Thailand di Bangkok pada 9 Jun depan.

Sebagai langkah pencegahan penularan COVID-19, Hamidin berkata pihaknya juga akan melakukan pemeriksaan suhu badan terhadap penonton ketika aksi menentang Vietnam itu.

“Kita akan melakukan beberapa ‘langkah pencegahan’ seperti pemeriksaan suhu badan di pintu masuk dan menyediakan hand sanitiser kepada penonton, kerana kita mahu mengurangkan risiko walaupun penularan wabak COVID-19 agak kurang pada masa ini.

“Kita juga meminta semua pasukan melakukan perkara sama semasa perlawanan Liga Malaysia, yang akan membuka tirai pada Jumaat ini. Sekiranya ada nasihat tambahan daripada Kementerian Kesihatan, kita akan ikut,” katanya yang juga Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Malaysia, pasukan ranking ke-154 dunia, kini menduduki tempat kedua kumpulan dengan sembilan mata selepas lima perlawanan, dan mereka berpeluang cerah ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di China, sekiranya mencatat keputusan positif dalam baki tiga perlawanan.

Kali terakhir Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Asia adalah pada edisi 2007, selaku tuan rumah bersama tiga negara ASEAN yang lain iaitu Indonesia, Thailand dan Vietnam. –

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: