
PEMAIN Terbaik Perlawanan Malaysia menentang Loas, G Pavithran mengakui sokongan rakan sepasukan membuatkan dia menjadi bertambah yakin sekali gus membuatkan semangatnya terus berkobar-kobar untuk mempamerkan aksi terbaik pada setiap perlawanan.
Mendapatkan banyak minit perlawanan dalam saingan Liga A1 Semi-Pro musim 2025/2026 bersama Johor Darul Ta’zim II, pemain yang boleh beraksi di beberapa posisi ini dilihat sedikit bergelut pada awal perlawanan sebelum bangkit memperkemaskan corak permainan.
Namun selepas mendapat rentak, pemain itu membuktikan kemampuannya apabila terbabit dengan dua gol pertama skuad Harimau Malaya untuk membantu skuad negara membelasah Laos 4-0 pada aksi kedua Kumpulan B di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, semalam.
Hantaran pendek pemain Johor Darul Ta’zim II (JDTII) itu ditampan masuk Paulo Josue di penghujung babak pertama untuk Malaysia mendahului 1-0 menuju ke masa rehat.
Kepantasan Pavithran di sayap kiri jelas memberikan masalah kepada Laos dan hantarannya ke dalam kotak penalti kali ini disudahkan Endrick dos Santos untuk Malaysia melebarkan jurang kepada 2-0 pada minit ke-57.
“Memang sukar untuk pemain muda mendapat minit perlawanan, jadi apabila mendapat peluang, kita perlu tunjukkan sesuatu yang bagus.
“Semua rakan pasukan terutamanya pemain yang berpengalaman memberi sokongan kepada saya. Pada masa rehat pun, jurulatih terus memberikan sokongan.
“Jadi semangat saya pun turut meningkat. Tetapi anugerah Pemain Terbaik Perlawanan ini adalah nombor dua kerana apa yang paling penting adalah kita mendapat tiga mata malam ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.










Add Comment