
QABIL Irfan Azlan memperoleh pengalaman berharga selepas mengharungi saingan mencabar pada Pusingan 4 Moto4 European Cup di Litar Magny-Cours, Perancis apabila menamatkan Perlumbaan 1 di tempat kelapan dan Perlumbaan 2 di kedudukan ke-15.
Pelumba pasukan SIC-GRYD Racing itu berdepan hujung minggu yang sukar apabila gagal menemui rentak terbaik sepanjang sesi latihan dan kelayakan, sekali gus menyaksikannya terpaksa memulakan perlumbaan dari petak ke-22 bagi Perlumbaan 1 dan petak ke-23 untuk Perlumbaan 2.
Walaupun bermula jauh di belakang, Qabil tetap mempamerkan semangat juang tinggi apabila berjaya memintas ramai pelumba untuk menamatkan Perlumbaan 1 di tempat kelapan, sekali gus membuktikan keupayaannya bersaing dalam kelompok kompetitif Moto4 European Cup.
Perlumbaan 1 dimenangi pelumba Itali, Lorenzo Pritelli (Team Echovit Pasini Racing), diikuti pendahulu keseluruhan kejuaraan dari Sepanyol, Alvaro Lucas (CFMOTO Aspar Junior Team) di tempat kedua, manakala rakan senegaranya, Víctor Cubeles (Team Impala Honda), melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.
Namun, cabaran berbeza dalam Perlumbaan 2 apabila Qabil bergelut untuk mengejar kolompok hadapan sekali gus menamatkan saingan di kedudukan ke-15.

Bagi Perlumbaan 2, kemenangan menjadi milik Cubeles, diikuti Lucas di tempat kedua, manakala pelumba Colombia, Mateo Marulanda (AC Racing Team), melengkapkan podium selepas perlumbaan sengit yang menyaksikan empat pelumba teratas dipisahkan kurang satu persepuluh saat.
Meskipun berdepan hujung minggu yang mencabar, keputusan di Magny-Cours menyaksikan Qabil kekal berada dalam kelompok enam terbaik keseluruhan kejuaraan apabila mengumpul 61 mata untuk menghuni tangga keenam keseluruhan selepas empat pusingan.
Pelumba Sepanyol, Alvaro Lucas terus menguasai carta keseluruhan dengan 135 mata, diikuti Lorenzo Pritelli (99 mata), Mateo Marulanda (86 mata), Victor Cubeles (85 mata) dan Edoardo Savino (80 mata).
Qabil kini memiliki kelebihan tiga mata ke atas pelumba Sepanyol, Ignacio Galan, yang menghuni tangga ketujuh dengan 58 mata, sekali gus berada pada landasan terbaik untuk memburu kelompok lima terbaik menjelang baki tiga pusingan musim ini.
Pengurus pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, keputusan di Magny-Cours memberi banyak pengajaran terutama dalam aspek penyediaan jentera dan pembangunan pelumba menjelang baki saingan musim ini.
Menurutnya, beberapa penambahbaikan akan dilakukan terhadap motosikal selain memberi tumpuan kepada aspek tunggangan Qabil supaya pelumba kelahiran Terengganu itu mampu kembali bersaing dalam kelompok hadapan pada pusingan seterusnya.
Saingan Moto4 European Cup kini akan berehat seketika sebelum diteruskan ke pusingan kelima di Circuit Ricardo Tormo, Cheste 4 hingga 6 September depan, dengan Qabil dijangka menggunakan tempoh tersebut untuk memperkemaskan aspek tunggangan serta persediaan jentera dalam usaha kembali mencabar kelompok hadapan.









Add Comment